Sekolah tetap sambut Bulan Kebangsaan walau tanpa kehadiran bersemuka

Sekolah tetap sambut Bulan Kebangsaan walau tanpa kehadiran bersemuka

Labuan: Meskipun tidak dapat mengadakan sambutan secara bersemuka, kira-kira 200 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Perumahan Bedaun, di sini tetap sama-sama memeriahkan program mengibar Jalur Gemilang yang diadakan secara dalam talian, baru-baru ini.

Program bersempena sambutan Bulan Kebangsaan 2021 itu adalah acara tahun yang dianjurkan pihak sekolah berkenaan bagi memupuk semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan pelajar.

Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun, Ag Rozlan Manan, berkata walaupun tidak dapat mengadakan program secara bersemuka, inisiatif pihak sekolah itu tetap memberi makna kepada warga sekolah berkenaan.

“Objektif utama program ini diadakan adalah untuk menyemai semangat sayangi Malaysia dan menanam sikap sayang serta cinta kepada sekolah dan seterusnya kepada negara,” katanya.

Pada majlis itu, Ag Rozlan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbolik pelancaran yang diatur Jawatankuasa Sambutan Bulan Kemerdekaan peringkat sekolah berkenaan.

Katanya, ahli jawatankuasa sambutan juga berjaya menghidupkan suasana sambutan dengan memasang Jalur Gemilang dan bendera Wilayah Persekutuan di pekarangan sekolah serta menghias sudut Negaraku Merdeka meskipun tanpa kehadiran pelajar di sekolah.

“Tema sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini Malaysia Prihatin adalah untuk menghargai keprihatinan, kesungguhan dan ketabahan warga Malaysia khususnya barisan hadapan mengharungi cabaran dan dugaan pandemik COVID-19.

“Namun, masih terdapat segolongan generasi muda yang kurang arif mengenai peranan mereka dan erti kemerdekaan yang dikecapi negara ketika ini.

“Erti kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan secara fizikal semata-mata, malah kita seharusnya peka dan menyedari penjajahan yang lebih berbahaya iaitu penjajahan mental melalui pengaruh budaya negatif serta amalan yang tidak sihat,” katanya.

Ag Rozlan berkata pelajar sekolah perlu terus didedahkan dengan unsur patriotik seperti sambutan Bulan Kebangsaan bagi melahirkan semangat kebangsaan.

Katanya, pelajar juga perlu mengamalkan cara pemikiran kelas pertama dalam diri masing-masing sekali gus mempertahan kemerdekaan yang diperjuangkan pemimpin terdahulu negara.

Sempena sambutan Bulan Kebangsaan secara dalam talian itu, guru SMK Taman Perumahan Bedaun turut menghasilkan video pendek dan lagu bertemakan Hari Kemerdekaan untuk menyemai semangat cintakan negara dalam kalangan pelajar sekolah berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|