Kota Kinabalu: Semangat Sabah FC untuk menamatkan kebuntuan mencipta kemenangan di gelanggang sendiri terus luntur apabila tewas lagi ketika melayan kunjungan Penang FC di Stadium Likas, malam ini.
Skuad bimbingan Kurniawan Dwi Yulianto itu dihampakan dengan jaringan 3 – 0, jauh meleset berbanding harapan disuarakan Kurniawan siang tadi yang mahu anak buahnya memberi kemenangan kepada pasukan.
Sejak pusingan kedua Liga Super bermula bulan lalu, skuad Sang Badak itu belum mencipta sebarang kemenangan, sekali gus menyukarkan usaha pasukan memperbaiki kedudukan.
Dalam perlawanan malam ini, Penang FC mencipta gol sulung pada separuh masa pertama melalui tandukan pemain importnya, Anselmo Arudda da Silva atau lebih popular dengan panggilan Casagrande pada minit ke-37.
Aksi perlawanan Liga Super Malaysia 2021 di Stadium Likas, Kota Kinabalu. Pix / Mohd Adam Arinin.
Cubaan pemain skuad Badak selepas itu untuk menyamakan kedudukan melalui beberapa percubaan tetap gagal hingga wisel menandakan waktu rehat dibunyikan.
Bersambung babak kedua perlawanan, Sabah terus ketinggalan apabila Penang FC menambah dua lagi gol pada minit ke-52 dan minit ke-66, masing-masing melalui Casagrande dan Sheriddin Boboev.
Situasi itu dilihat mula melemahkan semangat pasukan Sabah apabila permainan mereka kelihatan semakin tidak menentu termasuk gagal menyudahkan beberapa peluang di hadapan gawang Penang FC.
Ia menyebabkan kedudukan selesa Penang FC dengan 3 – 0 itu gagal digugat pemain Sabah hingga ke wisel penamat.
-Deasoka