Covid-19 Sabah: Petani warga tua cetus Kluster Kampung Penangah di Tongod

Covid-19 Sabah: Petani warga tua cetus Kluster Kampung Penangah di Tongod

Kota Kinabalu: Seorang petani lelaki warga tua mencetuskan kluster baharu Covid-19 di daerah Tongod selepas dikesan positif melalui saringan bergejala pada 17 Ogos lalu.

Kluster Kampung Penangah itu setakat ini dikesan menjangkiti 35 individu termasuk 15 kes baharu yang dilaporkan di daerah itu pada hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kes indeks berumur 76 tahun terbabit mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan masalah kulit.

“Kes indeks disahkan positif Covid-19 di Klinik Kesihatan Penangah pada 17 Ogos 2021 setelah mengalami simptom demam, batuk dan sakit kepala.

“Siasatan awal mendapati pada 12 Ogos 2021 kes indeks mempunyai pergerakan ke luar daerah iaitu ke Sandakan untuk mendapatkan rawatan penyakit kulit dan mula bergejala pada 15 Ogos lalu,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Masidi berkata, siasatan seterusnya mengesan 14 kes positif dalam kalangan kontak rapat di sekitar kediaman kes indeks.

Setakat hari ini, katanya jumlah kumulatif kes positif bagi kluster itu ialah 35 kes termasuk 15 kes baharu hasil saringan terhadap 76 individu.

“Aktiviti siasatan, persampelan Covid-19 dan disinfeksi masih diteruskan oleh pasukan siasatan untuk menilai sebarang jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada penduduk kampung yang berdekatan,” katanya.

Secara keseluruhan, Sabah hari ini merekodkan sebanyak 2,638 kes baharu dengan 16 kes kematian iaitu lapan kes di Kota Kinabalu, tiga kes di Tawau, dua kes di Keningau, manakala Penampang, Papar dan Putatan masing-masing mencatatkan satu kes.

Sementara itu, seramai 903 pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh hari ini, manakala seramai 4,874 peskit sedang menjalani rawatan di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC), termasuk 163 dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 73 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|