Ismail Sabri ajak pembangkang sertai MPN, wujud kerjasama rentas parti

Ismail Sabri ajak pembangkang sertai MPN, wujud kerjasama rentas parti

Kuala Lumpur: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menawarkan ruang kepada kepemimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Perdana Menteri berkata, perkara itu selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong dalam perjumpaan bersama ketua parti baru-baru ini yang meminta semua melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

Katanya, semua pihak sepatutnya sedia bekerja dalam satu pasukan demi mengharmonikan semula suasana atau dalam erti kata lain semua pihak perlu
mendakap erat prinsip kebersamaan.

“Saya faham, kemelut politik yang melanda negara menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat. Oleh itu, kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan. Ini termasuklah mewujudkan kerjasama rentas parti.

“Justeru, saya ingin menawarkan ruang kepada kepemimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19,” katanya dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri, hari ini.

Perdana Menteri turut mengajak semua pihak untuk sama-sama bergerak ke hadapan dan meleraikan segala perebutan kuasa politik.

Katanya, semua pihak perlu bersama-sama berjuang sebagai sebuah keluarga besar yang merangkumi penjawat awam, pekerja swasta dan yang bekerja sendiri dalam memperbaiki, merawat dan memulihkan semula negar.

Dalam pada itu, beliau akan menyediakan pasukan pentadbiran yang akan berkhidmat membantu negara agar segera keluar daripada kemelut kesihatan dan ekonomi.

“Saya berikrar menghasilkan yang terbaik demi membuktikan kepercayaan rakyat kepada pasukan saya tidak dipersiakan.

“Hasrat ini hanya berupaya dicapai melalui kerjasama daripada seluruh pentadbiran yang didukung oleh penjawat awam selaku tulang belakang pentadbiran negara.

“Marilah kita bersama-sama sebagai Keluarga Malaysia mengembalikan kesejahteraan dan keselesaan hidup yang pernah dikecapi suatu ketika
dulu. Saya membulat tekad, bekerja bersama rakyat,” katanya mengakhiri ucapannya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|