Kuala Lumpur: Sebanyak enam juta dos vaksin lagi dibeli sebagai tambahan kepada vaksin yang sudah dibeli oleh kerajaan sebelum ini dalam usaha untuk memangkin pencapaian program vaksinasi seperti dicapai di Labuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan pembelian vaksin itu dalam ucapan sulungnya hari ini, berkata ia dijangka diterima menjelang awal bulan depan.
Katanya, ia adalah berita baik kepada rakyat Malaysia bersempena sambutan Bulan Kebangsaan yang disambut sepanjang Ogos hingga 16 September depan.
Beliau berkata, kerajaan optimis kejayaan program vaksinasi membolehkan orang ramai dapat kembali menziarahi ibu bapa di kampung, meraikan perayaan dan melancong dalam negara.
“Anak muda boleh beriadah, pulang semula ke institusi pengajian tinggi dan yang paling utama ialah anak-anak kita boleh kembali ke sekolah.
“Gambaran ini bukanlah satu angan-angan kosong kerana negara kita pernah berjaya menurunkan statistik pesakit Covid-19.
“Ini kerana fakta terkini pada Jumaat, 20 Ogos 2021 membuktikan keberkesanan strategi lalu apabila statistik kes harian Wilayah Persekutuan Labuan yang sudah mencapai 90 peratus imuniti kelompok dewasa, telah menurun secara konsisten kepada satu digit selama tujuh hari berturut-turut.
“Ini bukanlah bermakna kita akan bebas sepenuhnya daripada ancaman Covid-19 tetapi apabila kita mencapai imuniti kelompok, virus ini tidak lagi menjadi ancaman sepertimana yang ditakuti sekarang,” katanya.
Jelasnya, melalui usaha berterusan kerajaan sebelum ini, kadar pencapaian vaksinasi di Malaysia adalah antara yang terpantas di seluruh dunia dengan kadar vaksinasi yang tinggi melebihi 500,000 dos sehari.
Beliau berkata, bersandarkan data itu, kerajaan akan meneruskan usaha yang dilaksanakan sebelum ini agar negara dapat segera beralih ke fasa pemulihan melalui sasaran imuniti kelompok.
“Demi mencapai sasaran itu lebih awal, kerajaan akan memastikan inisiatif dan strategi dalam meningkatkan liputan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang dilaksanakan akan diperhebatkan lagi.
“Untuk itu, saya berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang memberi kerjasama penuh dalam pengambilan vaksin. Keupayaan memerangi pandemik secara berkesan memerlukan komitmen semua Keluarga Malaysia.
“Bagi mereka yang masih belum mendaftar, rayulah ahli keluarga kita untuk segera berbuat demikian. Dengan itu, kita dapat membantu dan menghargai pengorbanan barisan hadapan yang bertungkus-lumus bagi memastikan seluruh rakyat dapat segera menjalani kehidupan norma baharu,” katanya.
-Deasoka