Pendekatan Keluarga Malaysia satukan rakyat – Ismail Sabri

Pendekatan Keluarga Malaysia satukan rakyat – Ismail Sabri

Kuala Lumpur: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau menggunakan pendekatan Keluarga Malaysia untuk menyatukan seluruh rakyat negara ini tanpa mengira agama dan bangsa dalam menghadapi cabaran dihadapi negara ketika ini.

Perdana Menteri turut meminta seluruh Ahli Parlimen, sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang supaya sama-sama menggembleng tenaga untuk memulihkan semula keadaan negara.

“Marilah kita, dengan fikiran terbuka dan dada yang menerima, mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan. Kita perlu bersepakat untuk menyelamatkan keluarga kita, iaitu Keluarga Malaysia.

“Saya menggunakan pendekatan Keluarga Malaysia kerana frasa ini sifatnya lebih inklusif. Ia merentasi sempadan agama, bangsa, dan kaum. Di mana, kita menyedari kewujudan sesebuah keluarga yang berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama, tetapi nilai kekeluargaan telah mengikat mereka semua.

“Sebab itu, konsep Keluarga Malaysia diambil kerana bagi saya keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga,” katanya dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri Kesembilan, hari ini.

Katanya, seluruh rakyat Malaysia adalah satu keluarga tanpa mengira agama, bangsa dan kaum, malah katanya rakyat negara ini adalah seperti keluarganya sendiri, sama ada anak muda atau yang berusia.

Beliau berkata, setiap rakyat diibaratkan saling melengkapi, umpama anggota tubuh yang saling memerlukan.

“Saya menginsafi kepayahan, kesengsaraan dan keperitan hidup yang mencengkam kita semua. Ada yang hilang mata pencarian, ada pula yang putus bekalan makanan dan bukan sedikit yang telah dibuang kerja.

“Saya memahami keringat dan nilai sesuap nasi, kerana saya lahir dan membesar dalam keluarga anak petani yang susah. Oleh sebab itu, saya sangat menghayati kepayahan dan keperitan hidup rakyat pada masa negara sedang menghadapi krisis ekonomi yang berpunca daripada wabak ini (Covid-19),” katanya.

Sementara itu, katanya mengambil kira situasi getir pandemik Covid-19 dunia yang sentiasa berevolusi bermula dengan varian alpha kepada beta dan yang terkini varian lambda, strategi yang dirangka kerajaan sebelum ini akan diteruskan dan diperkasakan serta ditambah baik dengan mengambil kira pandangan pakar kesihatan awam negara.

Perdana Menteri berkata, beliau akan memastikan setiap intervensi dan usaha pihak kerajaan untuk menurunkan kes Covid-19 dilakukan secara lebih komprehensif.

“Ia bakal dilaksanakan melalui kerjasama strategik rentas kerajaan dengan penglibatan pemegang taruh, agensi kerajaan dan pihak swasta bagi memastikan sistem kesihatan negara kembali stabil,” katanya

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|