Lelaki ditahan bersama rokok seludup

Lelaki ditahan bersama rokok seludup

Lahad Datu: Seorang lelaki berusia 49 tahun yang dipercayai menjalankan aktiviti penyeludupan rokok ditahan dalam operasi di hadapan pasar ikan, di sini, semalam.

Dalam operasi Op Kontraban itu, polis berjaya merampas 36,980 batang rokok yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, operasi dijalankan bahagian siasatan jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

Katanya, dalam operasi berkenaan, suspek ditahan bersama dua bot dengan enjin berkuasa 15 dan 30 kuasa kuda.

“Hasil pemeriksaan terhadap dua bot yang berlabuh di tepi pasar berkenaan menemukam sejumlah rokok yang tidak mempunyai pengesahan bercukai daei Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Jumlah keseluruhan rokok yang dirampas adalah sebanyak 36,980 batang rokok dengan nilai rampasan termasuk dua bot RM30,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Rohan berkata, pihaknya percaya semua rokok dipercayai untuk dipasarkam di sekitar Pasr Ikan Lahad Datu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) (D) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda cukai tidak berbayar atau RM100,000 yang mana lebih tinggi.

“Selain itu, pesalah turut boleh dikenakan denda sehingga 20 kali ganda atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|