Rebah di bawah pokok ketika mendapatkan vaksin

Rebah di bawah pokok ketika mendapatkan vaksin

Keningau: Seorang lelaki warga asing dilaporkan meninggal dunia ketika berehat di luar Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Sukan Keningau, di sini, hari ini.

Mangsa berusia 57 tahun itu yang tinggal di Kampung Pampang, di sini, dikatakan baru saja tiba di pusat berkenaan sebelum singgah di bawah pokok untuk berehat.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan tiba-tiba rebah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai pergi ke PPV berkenaan dengan berjalan kaki dari rumahnya.

Katanya, mangsa dikatakan pergi ke lokasi bagi menghadirkan diri untuk temujanji vaksin menerusi aplikasi MySejahtera.

“Semasa duduk berehat, mangsa dilaporkan tiba-tiba rebah dan sepasukan pegawai perubatan Hospital Keningau hadir di lokasi bagi memberi bantuan kecemasan.

“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang merawatnya sebelum dibawa ke Hospital Keningau untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shahrudin berkata, tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Sebelum ini, tular di media sosial yang mendakwa mangsa meninggal dunia ketika menunggu giliran untuk menerima vaksin.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|