Mengamuk tak dapat wang beli dadah, lelaki tikam adik guna gunting

Mengamuk tak dapat wang beli dadah, lelaki tikam adik guna gunting

Beaufort: Akibat gagal mendapatkan wang, seorang lelaki bukan sahaja mengamuk merosakan barang, namun turut menikam kepala adiknya mengggunakan gunting dalam kejadian di Kampung Pintas, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, lelaki terbabit yang berusia 31 tahun dikatakan mengamuk selepas gagal mendapatkan wang yang diminta daripada ibunya disyaki untuk membeli dadah.

Suspek yang berang dikatakan terus mengamuk dan merosakkan barang-barang sambil menjerit-jerit.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, adik suspek berusia 25 tahun yang melihat kejadian itu kemudian menegur sebelum suspek menyerangnya.

Katanya, berlaku pergelutan antara mereka dan suspek bertindak mengambil gunting dan menikam kepala adiknya.

“Ibu mereka yang melihat kejadian itu segera meleraikan. Akibat kejadian itu mangsa luka di kepala dan dada akibat terkena gunting yang digunakan oleh suspek. Mangsa susah dirujuk ke Hospital Beaufort untuk rawatan lanjut.

“Susulan laporan yang dibuat oleh ahli keluarga terbabit, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort bertindak menahan suspek dan merampas gunting yang digunakan ketika kejadian,” katanya.

Katanya, hasil siasatan mendapati suspek disyaki penagih dadah dan wang yang diminta dipercayai untuk digunakan membeli barang terlarang berkenaan.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda yang merbahaya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|