Inisiatif GLOPEC bantu usahawan IKS Sabah

Inisiatif GLOPEC bantu usahawan IKS Sabah

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri mahu lebih ramai usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) di Sabah menggunakan inisiatif Program Global Entrepreneur One Stop Centre atau GLOPEC bagi memaksimumkan kaedah pemasaran produk dalam usaha meningkatkan pendapatan mereka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan sedar ramai usahawan IKS di Sabah terjejas pendapatan akibat penularan pandemik Covid-19 sejak lebih setahun lalu dan mereka memerlukan sokongan melalui inisiatif seperti GLOPEC untuk bangkit semula.

Katanya, GLOPEC memberikan penekanan kepada aktiviti rantaian secara menyeluruh yang membabitkan peningkatan pengeluaran, pengumpulan hasil, pemprosesan dan pemasaran produk yang lebih sistematik untuk membantu membuka peluang kepada usahawan IKS Sabah ke pasaran antarabangsa.

“Saya difahamkan GLOPEC berfungsi sebagai pusat penghubung yang akan berurusan dengan agensi berkaitan dalam perniagaan dan pihak berwajib dalam pasaran serta semua rangkaian pembekal dan pembeli barangan keluaran IKS Sabah yang terbabit dalam program ini.

“Saya juga berharap lebih ramai usahawan IKS di Sabah akan terbabit dalam GLOPEC. Saya amat tertarik dengan asas kerjasama ini kerana ia seiring dengan apa yang digariskan dalam hala tuju sektor pertanian, iaitu antara sektor utama dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Semoga Memorandum Perjanjian (MoA) yang ditandatangani di antara Kumpulan Yayasan Sabah dan TERAJU atau Unit Peneraju Agenda Bumiputera ini bakal membuka jalan kepada produk keluaran Sabah yang dihasilkan usahawan IKS B40 dan M40 untuk dipasarkan ke peringkat global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program GLOPEC di bawah Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Yayasan Sabah yang juga Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd, Datuk Ghulam Khan Bahadar.

Pelancaran GLOPEC yang disiarkan secara maya itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latif Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU Malaysia, Md Silmi Abd Rahman.

Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah turut menyatakan rasa bangga kepada Kumpulan Yayasan Sabah yang sentiasa komited dan kreatif membangunkan inovasi perniagaan baharu bagi membantu usahawan IKS meneruskan perniagaan meraeka.

“Semoga ini menjadi contoh dan pendorong kepada agensi lain untuk memulakan inisiatif memajukan ekonomi Sabah. Kumpulan Yayasan Sabah yang juga peneraju industri kraf di negeri ini, diharap terus gigih memastikan pembabitan 100 peratus usahawan tempatan dalam menghasilkan produk berkualiti dan berdaya saing di pasaran.

“Usaha mengkomersialkan produk kraf ini perlu terus diperkasakan agar ia terus mendapat perhatian pengguna, pembeli dan pelancong dari dalam serta luar negara,” katanya.

Beliau yakin inisiatif itu bukan hanya memberikan manfaat kepada usahawan IKS dalam program kraf tetapi juga kepada semua peringkat perniagaan di Sabah.

Sementara itu, Hajiji turut melancarkan Hala Tuju SMJ menerusi Bantuan Sabah Prihatin (BSP) 3.0 yang memperuntukkan RM2.8 juta kepada Kementerian Pembangunan Perindustrian bagi memberi bantuan sekali bayar berjumlah RM300 kepada 9,600 penerima kategori usahawan mikro dan kotej yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Secara keseluruhan, kerajaan negeri menyalurkan sebanyak RM353 juta melalui BSP 1.0, 2.0 dan 3.0 untuk membantu penduduk yang terjejas di akibat penularan pandemik Covid-19. Ini tidak termasuk bantuan bakul makanan untuk BSP 1.0 hingga 3.0 berjumlah RM115 juta,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|