Sindiket rompak kayu tangar dikesan

Sindiket rompak kayu tangar dikesan

Sandakan: Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) berjaya mengesan sindiket yang menjalankan aktiviti merompak kayu tangar di negeri ini.

Ketua Konservator JPS, Frederick Kugan berkata, sindiket yang berasal dari negara jiran Filipina itu mensasarkan empat daerah di pesisir pantai Sabah untuk menjadi lokasi pilihan bagi mendapatkan kayu berkenaan.

Katanya, hasil siasatan mendapati lokasi yang kerap menjadi pilihan sindiket adalah Sungai Pitas, Sungai Inarab, Pitas, Sungai Sugut, perairan Pulau Jambongan, Beluran, pesisir perairan Pulau Bangi, Kudat dan Kuala Meruap, Kinabatangan.

“Semua kawasan pesisir pantai ini sentiasa menjadi sasaran pencuri kulit tangar rentas sempadan negara.

“Lokasi ini sememangnya sangat padat dengan spesis kayu tangar. Apa yang menjadi sasaran adalah kulit kayu berkenaan yang sesuai dijadikan pewarna pakaian selain digunakan dalam industri minuman,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Frederick berkata, siasatan awal mendapati, modus operandi pencuri adalah menyelinap masuk secara haram di semua lokasi sasaran.

Katanya, pihaknya percaya sindiket ini juga membabitkan pembabitan orang tempatan sebagai dalang.

Sementara itu, Frederick berkata, tangkapan terbaru membabitkan sindiket berkenaan berjaya dilakukan pada 7 Ogos lalu.

Katanya, individu ditahan adalah seorang remaja berusia 16 tahun yang dikenali sebagai Samsudin Roslan dan berasal dari Taganak, Filipina.

“Suspek ditahan di kawasan Hutan Simpan Trusan, Kinabatangan, di sini, bersama 950 kilogram kulit kayu tangar.

“Ketika ditahan, suspek sedang sibuk menjalankan aktiviti memunggah kulit kayu tangar ke dalam bot jenis bogo-bogo,” katanya.

Frederick berkata, pihaknya percaya anggaran kayu tangar yang ditumbangkan suspek untuk mendapatkan jumlah berkenaan adalah sebanyak 170 pokok membabitkan keluasan kira-kira dua hektar.

Katanya, remaja itu ditahan mengikut Seksyen 30(1)(g) Enakmen Hutan 1968 iaitu memiliki barangan hutan (kulit kayu tangar) secara tidak sah.

“Lokasi pengambilan kulit tangar ini juga turut dikesan di dalam Tapak Lembangan Kinabatangan dan Segama seluas 78,000 hektar.

“Ia salah tapak Ramsar paling luas di Malaysia yang mana menjadi perhatian seluruh dunia. Kejadian ini akan menjejaskan nama baik Sabah khususnya dan Malaysia amnya sekiranya aktiviti seumpama ini tidak dibendung,” katanya.

Frederick berkata, ekosistem bakau di kawasan ini juga adalah habitat atau sumber pembiakan ikan yang penting di Sabah.

Justeru itu katanya, pihak JPS akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan dengan menambah keupayaan kakitangan.

“Ia termasuk menggunakan sepenuhnya Unit Khas Penguatkuasa JPS atau “Protect Team” yang terlatih dalam usaha menangani kegiatan itu daripada terus berleluasa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|