Kaji semula SOP MERS 999 – Hajiji

Kaji semula SOP MERS 999 – Hajiji

Kota Kinabalu: Prosedur operasi standard (SOP) Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 yang berpusat di Kuala Lumpur perlu diubah bagi mengelak kelewatan tindak balas kecemasan berikutan masalah komunikasi.

Perkara itu disuarakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dalam maklum balasnya mengenai insiden empat sekeluarga yang rentung dalam kebakaran di Taman Hungab, Penampang, awal pagi kelmarin.

Katanya, kejadian itu amat menyedihkan kerana isu keselamatan dan kecemasan seperti kebakaran tidak seharusnya dirujuk ke Kuala Lumpur terlebih dahulu hingga mengambil masa untuk menyelamatkan mangsa.

“Sepatutnya, apabila tahu panggilan adalah dari Sabah dan ada kecemasan, kenapa tidak terus sambung kepada pihak yang berkaitan seperti balai bomba di daerah atau negeri terbabit atau berikan nombor telefon yang boleh dihubungi.

“Tidak perlulah tanya banyak soalan kerana setiap panggilan ke MERS 999 sudah pasti membabitkan hal kecemasan. Kita kena peka dengan situasi dan dalam keadaan kecemasan, sudah pasti panik berlaku dan tiada masa untuk memberi semua maklumat yang diperlukan.

“Sehubungan itu, saya berharap SOP MERS 999 diubah dan dipermudahkan termasuk terus sambung panggilan itu ke nombor di daerah atau negeri yang terbabit,” katanya dalam satu kenyataannya, hari ini.

Beliau mengulas mengenai insiden kebakaran pada awal pagi Selasa lalu yang mengorbankan empat sekeluarga selepas gagal menyelamatkan diri dalam kebakaran di rumah mereka di Taman Hungab, Penampang.

Mangsa yang berumur 15 tahun hingga 50 tahun itu, masing-masing terdiri pasangan suami isteri, Matthew Wong, 50, dan Jecky Vun Kon Fong, 47, serta dua anak mereka, Brandon, 18, dan Eric, 15.

Difahamkan, jiran yang menyedari kebakaran pada kira-kira jam 2 pagi itu menghubungi talian kecemasan MERS 999 namun disambut petugas di Kuala Lumpur yang tidak mengetahui lokasi taman dan daerah yang disebut selain bertanya banyak soalan.

Sementara itu, Hajiji turut meminta orang orang ramai agar menyimpan nombor penting seperti balai polis, bomba dan hospital di kawasan masing-masing untuk memudahkan mereka meminta bantuan jika berlaku kecemasan.

“Selain MERS 999, simpanlah juga nombor balai polis, bomba dan hospital di kawasan masing-masing,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|