Syabu lebih 300 kilogram bernilai RM10.9 juta dirampas

Syabu lebih 300 kilogram bernilai RM10.9 juta dirampas

Tawau: Polis Sabah menumpaskan sindiket penyeludupan dadah selepas berjaya merampas syabu bernilai RM10.9 juta dan menahan seorang lelaki tempatan di kawasan Kampung Batu Payung, di sini, Isnin lalu.

Semua dadah yang dirampas dianggarkan seberat 303,155.91 gram berkenaan adalah rampasan terbesar pernah dilakukan Polis Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, suspek berusia 49 tahun yang memandu Mitsubishi Triton, pada awalnya cuba ditahan untuk pemeriksaan di kawasan Mambalua, Batu 10, di sini.

Bagaimanapun katanya, suspek bertindak memecut kenderaan untuk meloloskan diri sebelum berjaya ditahan di kawasan Kampung Batu Payung, di sini.

“Pasukan polis kemudiannya menemui lima beg bagasi di tempat duduk belakang dan tujuh lagi di ruang belakang pacuan empat roda berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis mendapati semua bagasi berkenaan mengandungi sebanyak 290 bungkusan bertulis ‘GUANYINWANG’ berisi ketulan hablur disyaki dadah jenis syabu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas.

Idris berkata, polis turut merampas harta milik suspek termasuk wang tunai serta kenderaan bernilai RM152,287 dan menjadikan jumlah rampasan keseluruhan termasuk dadah sebanyak RM11.06 juta.

Katanya, suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.

Sementara itu, Idris berkata, pihaknya percaya dadah berkenaan berasal dari luar negara dan disyaki cuba diseludup ke negara jiran.

Katanya, siasatan akan dijalankan bagi mengenalpasti sama ada ia membabitkan rangkaian sindiket antarabangsa.

Dadah syabu seberat lebih 300 kilogram dianggarkan bernilai RM10.9 juta.

“Polis Sabah sudah meminta bantuan daripada dari Bukit Aman bagi mendapatkan maklumat rangkaian dadah berkenaan.

“Kita percaya semua dadah ini boleh digunakan seramai 1.5 juta penagih untuk sekali penggunaan,”katanya.

Idris berkata, PDRM Sabah sentiasa memandang serius permasalahan membabitkan dadah dan akan melakukan tindakan pembanterasan drastik termasuk mengempur sarang penagihan.

“Saya sudah mengarahkan semua ketua polis daerah untuk mengenalpasti kawasan panas atau ‘hotspot’ penagihan dadah di daerah masing-masing,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|