Sabah paling ramai pesakit Talasemia

Sabah paling ramai pesakit Talasemia

Kota Kinabalu: Sabah merekodkan pesakit Talasemia paling ramai di Malaysia dengan seramai 1,829 pesakit daripada 8,178 orang yang direkodkan di seluruh negara pada 2019.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata keadaan itu menggambarkan betapa penting usaha menangani penyakit berkenaan khususnya dalam membantu pesakit dan mencegah penularannya.

Beliau berkata, semua pihak juga perlu prihatin terhadap keperluan pesakit terutama yang berkaitan dengan kempen menderma darah untuk membantu pesakit Talasemia.

“Jumlah ini agak besar dan ianya memerlukan keprihatinan semua pihak dalam usaha mengurangkan jumlah pesakit serta membantu meringankan bebanan rawatan pesakit Talasemia.

“Kerajaan negeri akan terus memastikan segala keperluan pesakit Talasemia di negeri ini dapat disediakan oleh pihak berkaitan terutama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS),” katanya pada Majlis Penutupan Sambutan Hari Talasemia Sedunia Tahun 2021 Peringkat Negeri Sabah, hari ini.

Hajiji berkata, bagi memastikan bekalan darah untuk pesakit Talasemia mencukupi, Unit Transfusi Darah Hospital Queen Elizabeth (QEH) 2 sentiasa bekerjasama menjayakan kempen derma darah yang dianjurkan Persatuan Talasemia Sabah dan badan bukan kerajaan (NGO) yang lain.

Katanya, kerajaan turut membekalkan rawatan secara percuma, memastikan pesakit mendapat rawatan dan menerima bekalan darah yang selamat selain menjalani rawatan pemindahan tulang sum-sum dan rawatan terapi stem sel yang juga secara percuma.

Beliau berkata, kebajikan pesakit Talasemia di negeri ini juga tidak disisihkan dan mereka yang layak akan menerima bantuan dalam bentuk kewangan daripada Jabatan Kebajikan Negeri Sabah .

“Sebagai pemimpin di Sabah, saya akan buat sedaya upaya dan menyokong segala usaha yang dirancang untuk membantu pesakit Talasemia di negeri ini,” katanya.

Hajiji juga meminta pesakit Talasemia dan keluarga mereka supaya terus memainkan peranan sebagai ejen perubahan dengan mendidik ahli keluarga terdekat mengenai kepentingan menjalani ujian saringan Talasemia.

Katanya, langkah itu penting sejajar dengan harapan kerajaan negeri untuk mencapai matlamat memutuskan rantaian Talasemia Major di negeri ini seperti digarisjan Persatuan Talasemia Sabah.

Sehubungan itu, Hajiji juga menggesa masyarakat di negeri ini agar melakukan saringan Talasemia di semua hospital kerajaan yang dibuat secara percuma serta memuji usaha Persatuan Talasemia Sabah mengadakan pelbagai kempen kesedaran mengenai kawalan dan langkah pencegahan Talasemia di seluruh negeri.

“Saya menyeru kepada semua pihak berkepentingan dalam kawalan dan pencegahan Talasemia agar berganding bahu mengurangkan beban penyakit ini,” katanya.

Hajiji turut memuji usaha Repsol Oil & Gas Malaysia Limited atas sokongan berterusan syarikat berkenaan dan menjadi penaja utama program Persatuan Talasemia Sabah.

Beliau juga menggesa agar lebih banyak organisasi mencontohi usaha yang dibuat oleh Repsol Oil & Gas Malaysia sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

Sejajar dengan sambutan Hari Talasemia yang bertemakan `Memacukan Keseimbangan Kesihatan Talasemia Secara Global’, Hajiji berharap ia dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai Talasemia kepada pesakit, keluarga pesakit, NGO, warga hospital, masyarakat, agensi kerajaan dan swasta.

Talasemia ialah penyakit keturunan yang menyebabkan tulang sum-sum tidak dapat menghasilkan sel darah merah yang sempurna dan ia boleh diwarisi sama ada daripada ibu, bapa atau kedua-dua ibu bapa pembawa Talasemia.

Tiada rawatan khusus untuk penyakit berkenaan kerana belum ada ubat yang boleh menyembuhkan pesakit Talasemia.

Pesakit terpaksa bergantung kepada transfusi darah sepanjang hayat dengan kos rawatan yang tinggi sehingga mencecah RM3 juta bagi seorang pesakit, bermula dari seawal umur satu tahun hingga 30 tahun.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|