Sekolah ambil berat SOP, sistem penyuraian pelajar

Sekolah ambil berat SOP, sistem penyuraian pelajar

Labuan: Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kawasan sekolah dan sistem penyuraian yang teratur diberi perhatian utama sebelum sekolah di Labuan dibuka semula, bulan depan.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labuan, Ismail Abdullah, berkata dua aspek itu penting dalam usaha mengekang penularan Covid-19 di sekolah apabila sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dibuka semula.

Katanya, pihak sekolah juga akan memastikan aspek kebersihan dan kemudahan pembelajaran dalam keadaan baik untuk keselesaan guru serta pelajar.

“Kita akan memastikan bilik darjah dan persekitaran sekolah dalam keadaan baik dan bersih. Kita ada masa kira-kira sebulan untuk melaksanakan aspek ini sebelum sesi persekolahan secara bersemuka dimulakan.

“Persiapan aspek pematuhan SOP dalam kawasan sekolah dan semasa penyuraian pelajar juga akan diberi perhatian.

“Ini untuk memastikan pelajar dapat kembali ke sekolah dan mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dengan lebih selesa dan selamat,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau mengulas lawatan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin ke SMK Labuan baru-baru ini untuk melihat keadaan sekolah dan persiapan bagi memulakan sesi persekolahan secara bersemuka yang dijadualkan bermula bulan depan.

Labuan yang kini berada dalam Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah lokasi pertama yang akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka yang dijadual bermula pada 3 Oktober depan, namun hanya membabitkan pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam.

Ia kemudian disusuli secara berperingkat dengan pembukaan kelas lain, termasuk sekolah rendah yang dijadual bermula selepas dua minggu sesi pengajaran dan pembelajaran Tingkatan Lima serta Tingkatan Enam bermula.

Ismail, berkata pihak sekolah akan memastikan semua persiapan untuk pembukaan semula sesi persekolahan secara bersemuka dilaksanakan sebaik mungkin, khususnya yang membabitkan aspek pematuhan SOP.

Ketika ini, katanya SMK Labuan mempunyai 1,729 pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Enam dengan seramai 126 guru.

Sementara itu, Ismail berkata dalam lawatan di SMK Labuan pada 6 September lalu, Radzi turut meninjau perkembangan projek penyelenggaraan di sekolah berkenaan, khususnya dewan dan blok pentadbiran.

Lawatan kerja di sekolah berkenaan adalah antara pengisian Sesi Libat Urus bersama Menteri Kanan Pendidikan ketika lawatannya ke Wilayah Persekutuan Labuan.

Turut hadir dalam lawatan kerja itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Yusran Shah Mohd Yusof; Ketua Pengarah Pendidikan, Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid; Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM, Raisin Saidin dan Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Yusup Mohamad.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|