Mayat remaja perempuan jatuh laut ditemukan

Mayat remaja perempuan jatuh laut ditemukan

Sandakan: Mayat seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut di Kampung Semawang Batu 19, di sini, semalam, ditemukan tengah hari tadi.

Mayat mangsa ditemui penduduk kampung kira-kira 400 meter dari lokasi bot dilaporkan terbalik, jam 12.18 tengah hari.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sejurus dimaklumkan mengenai penemuan itu, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan bergegas ke lokasi berkenaan.

Katanya, pasukan bomba kemudian bertindak membawa mangsa ke kawasan tepi pantai sebelum diserahkan kepada pihak polis.

“Mangsa ditemui oleh penduduk kampung kira-kira 400 meter dari lokasi bot dilaporkan terbalik.

“Operasi mencari dan menyelamat kemudian ditamatkan sepenuhnya kira-kira 1 tengah hari tadi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, mangsa bersama tiga individu lain dikatakan terjatuh dari bot dinaiki mereka ketika dalam perjalanan dari Kampung Semawang Laut ke Kampung Semawang Darat, kira-kira jam 6 petang semalam.

Tiga individu terbabit berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung manakala remaja perempuan gagal ditemui.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|