Sarawak-Sabah Link Road bukan projek JANAWIBAWA – KKR

Sarawak-Sabah Link Road bukan projek JANAWIBAWA – KKR

Kota Kinabalu: Kementerian Kerja Raya (KKR) menafikan projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) yang menghubungkan Sabah dan Sarawak tanpa melalui Brunei adalah sebahagian daripada projek di bawah Agenda Program Memperkasa Kontraktor Bumiputera Berwibawa atau JANAWIBAWA.

Penafian itu dijelaskan dalam satu kenyataan KKR hari ini bagi menjawab dakwaan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman ketika sesi perbahasan Bajet 2022 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, semalam.

Berdasarkan kenyataan itu, KKR menjelaskan SSLR tidak termasuk dalam kategori projek JANAWIBAWA seperti yang didakwa Mohd Azis.

Kenyataan itu menyebut projek itu dianugerahkan secara runding terus kepada Samling Resources Sdn Bhd pada September lalu dengan harga kontrak sebanyak RM1.13 bilion.

“Keputusan untuk menganugerahkan projek ini secara rundingan terus kepada syarikat berkenaan telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan pada Januari 2020.

“Keputusan itu adalah berdasarkan persetujuan mantan YAB Perdana Menteri Ketujuh dan mantan YAB Perdana Menteri Kelapan lanjutan daripada perakuan oleh mantan YB Menteri Kerja Raya.

“Pemilihan Samling Resources Sdn Bhd, iaitu syarikat subsidiari Kumpulan Samling telah dibuat oleh kerajaan berasaskan kepada pertimbangan faktor harga yang kompetetif dan pengalaman kerja serta kemudahan urusan logistik yang ditawarkan oleh syarikat berkenaan.

“Mengenai pembabitan Kimlun Sdn Bhd dalam projek ini, KKR ingin memaklumkan ia adalah Sub Kontraktor Dinamakan (NSC) yang dilantik oleh kontraktor utama (Samling Resources Sdn Bhd) untuk skop kerja-kerja pembinaan dengan harga sebanyak RM780 juta,” kata kenyataan itu.

Harga subkontrak berkenaan, katanya tidak termasuk kos lain dalam pelaksanaan projek seperti kos pengambilan balik tanah, pengalihan utiliti, kos juruperunding dan lain-lain kos sampingan.

Melalui kenyataan itu, KKR turut menjelaskan kajian projek SSLR dilaksanakan pada 2007 bagi membina jalan alternatif menghubungkan Sarawak dan Sabah tanpa melalui negara jiran, Brunei Darussalam.

Projek berkenaan, katanya membabitkan jarak lebih 300 kilometer dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM4.5 bilion.

“Mengambil kira kos projek yang tinggi, pembinaan projek ini perlu dilaksanakan secara berperingkat. Untuk itu fasa pertama projek ini telah diluluskan dari agensi Pusat pada 2019, iaitu dalam Rolling Plan Ketiga RMKe-11 dengan siling peruntukan keseluruhan Fasa 1 sebanyak RM1.2 bilion.

“Fasa 1 SSLR melibatkan pembinaan jalan piawaian JKR R3 dari bandar Lawas ke persimpangan Long Lopeng sepanjang 77 kilometer,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|