Mayat bayi ditemui, salurkan maklumat kepada polis

Mayat bayi ditemui, salurkan maklumat kepada polis

Penampang: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung bayi yang ditemui mati di Jalan Bundusan, di sini, tampil untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, maklumat mengenai kejadian itu boleh disalurkan kepada polis dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Penampang di talian 088-723961.

Katanya, maklumat juga boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang, Inspektor Azerina Ali Omar di talian 014-653 5238.

“Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

“Mayat bayi terbabit sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Haris berkata, berdasarkan siasatan awal, pasukan perubatan yang tiba di tempat kejadian mengesahkan bayi terbabit baru dilahirkan.

Selain itu katanya, bayi lelaki terbabit juga dipercayai sudah meninggal dalam tempoh lebih kurang enam jam sebelum ditemui.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|