Levy setuju sambung kontrak

Levy setuju sambung kontrak

Kota Kinabalu: Kontrak pemain import Sabah FC, Levy Clement Madinda yang sepatutnya berakhir pada 31 Julai lalu, disambung sehingga akhir musim ini.

Pengurus Sabah FC, Marzuki Nasir, berkata Levy bersetuju untuk dilanjutkan kontrak sehingga akhir musim ini atau secara pilihan sehingga 1 Mei 2022.

Sebelum ini kontrak Levy tidak dapat dimuktamadkan sama ada disambung atau sebaliknya berikutan masalah keluarga yang dihadapinya.

“Sudah lapan bulan Levy tidak bersama keluarga dan kebetulan isterinya baru menjalani pembedahan.

“Ini yang menjadi punca utama mengapa beliau mahu memilih pulang untuk bersama-sama isterinya.

“Levy tidak dapat bersama keluarganya sejak bermain di Liga Turki sebelum mengikat kontrak dengan Sabah FC bagi menghadapi saingan Liga Super 2021,” katanya dalam satu kenyataan selepas menyaksikan majlis menandatangani kontrak Levy di Kota Kinabalu,hari ini.

Marzuki berkata ketika ini keadaan isterinya semakin stabil manakala pihak pengurusan juga bersetuju untuk menguruskan agar isteri Levy di bawa ke Sabah dalam tempoh terdekat.

“Kita masih memerlukan khidmatnya. Lagipun Levy juga sebenarnya masih mahu bermain dengan Sabah FC malah turut bersama-sama pasukan ke Kuala Terengganu tempoh hari,” katanya.

Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini menyebabkan keluarganya tidak dapat dibawa masuk ke Malaysia.

“Khabar ini diharap dapat menggembirakan penyokong dan peminat Sabah FC untuk terus menyokong pasukan menghadapi Liga Super,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|