Lelaki parah dihimpit kenderaan sendiri

Lelaki parah dihimpit kenderaan sendiri

Kota Kinabalu: Seorang lelaki parah selepas dihimpit kenderaan pacuan empat roda miliknya yang mengundur sendiri dalam kejadian Jalan Kampung Pulutan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 53 tahun terbabit dikatakan sedang membaiki kenderaannya yang mengalami kerosakan di jalan berkenaan.

Bagaimanapun, ketika sedang diperbaiki, kenderaan Toyota Hilux Vigo berkenaan tiba-riba bergerak ke belakang dengan sendiri dan terus menghimpit mangsa.

Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.24 tengah hari.

Katanya, sepasukan lima anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa masih terperosok di bawah pacuan empat roda berkenaan dan usaha mengalihkan kenderaan itu terus dijalankan.

“Sebaik berjaya dikeluarkan, mangsa terus dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Affendy berkata, operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.10 petang selepas tiada lagi kemerbahayaan lain dikesan di lokasi kejadian.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|