Maut tersepit di bawah lori

Maut tersepit di bawah lori

Lahad Datu: Pemandu yang tersepit di bawah kepala lori selepas hilang kawalan lalu terbabas di ke bahu kiri jalan di kilometer 15 Jalan Lahad Datu – Tawau, di sini, petang semalam, disahkan meninggal dunia.

Mangsa berusia 61 tahun disahkan meninggal dunia selepas hampir dua jam menerima rawatan di Hospital Lahad Datu, jam 4.50 petang.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, pemandu lori yang membawa muatan batu dari arah Tawau menuju ke Lahad Datu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan ketika menuruni bukit di tempat kejadian, kira-kira jam 3.05 petang.

Katanya, pemandu lori tersepit di bawah kepala lori akibat kemalangan itu sebelum dikeluarkan oleh pasukan bomba.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Lahad Datu namun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Lahad Datu untuk menunggu keputusan ujian Covid-19 bagi pemeriksaan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Rohan Shah berkata, siasatan diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, mana-mana individu yang melihat kejadian ini, boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu Inspektor Minda Anak Unum di talian 089-881255 sambungan 414 untuk membantu siasatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|