Cubaan menceroboh masuk perairan negara digagalkan

Cubaan menceroboh masuk perairan negara digagalkan

Sandakan: Tindakan pantas Pasukan Polis Marin (PPM) mengesan kehadiran seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya menghalangnya daripada menceroboh masuk ke perairan Pulau Berhala, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, pasukan operasi PPM terus melakukan pintasan dan pengusiran terhadap bot warga asing terbabit.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Empat Sandakan, Deputi Superintendan Rusdin Banin berkata, cubaan pencerobohan otu dikesan anggota PPM ketika melakukan rondaan di kawasan tanggungjawab.

Katanya, sebaik bot berkenaan dikesan dalam keadaan yang mencurigakan, pasukan operasi terus melakukan pemintasan di perairan jiran.

“Hasil pemeriksaan polis mendapati, bot berkenaan dinaiki seorang lelaki dan mengaku berasal daripada Pulau Taganak, Filipina.

“Bot berkenaan kemudiannya diusir keluar dengan diiring sehingga keluar dari perairan negara,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Rusdin berkata, PPM Sandakan sentiasa komited dalam menjalankan tanggungjawab menguatkuasakan kawalan pergerakan di kawasan perairan negara khususnya daerah Sandakan.

Katanya, ia bagi mengekang penularan wabak penyakit pandemik Covid-19 selain jenayah rentas sempadan.

“PPM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membolosi persempadanan negara,” katanya.

Sehubungan itu, Rusdin berkata, PPM amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada pihaknya.

Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp PPM Wilayah Empat Sabah di talian 013-2831197 atau berhubung ke Gerakan PPM Sandakan di talian 089-221453 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga serta terkawal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|