Gagal seludup barang kawalan bernilai RM12,627

Gagal seludup barang kawalan bernilai RM12,627

Semporna: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas petrol dan minyak masak yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran dalam operasi rondaan di perairan Kampung Air, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 12.30 tengah hari itu, pasukan operasi PPM menyedari sebuah bot yang ditinggalkan di kawasan jeti dalam keadaan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan kemudiannya menemui beberapa tong bersaiz 30 liter dan kotak minyak masak.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, semua barangan berkenaan disyaki untuk diseludup ke negara jiran Filipina.

Katanya, bot dan barang kawalan itu kemudiannya ditahan dan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya.

“Kes akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Semporna untuk siasatan.

“Nilai rampasan dianggarkan bernilai RM12,627 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, PPM amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada pihaknya.

Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp PPM Wilayah Empat Sabah di talian 013-9391197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga serta terkawal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|