Cubaan seludup petrol bersubsidi dipatahkan

Cubaan seludup petrol bersubsidi dipatahkan

Semporna: Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) berjaya mematahkan cubaan penyeludupan minyak petrol bersubsidi di perairan Pulau Boheyan, di sini, semalam.

Penyeludupan berkenaan berjaya dikesan hasil operasi rondaan yang dijalankan pada jam 6.15 petang selepas pasukan operasi mengesan sebuah bot laju di kawasan berkenaan.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, bot laju yang dikesan pasukan Viper 04 dan Tim Quick Reaction Force (QRF) terus dikejar untuk pemeriksaan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dinaiki dua awak-awak lelaki membabitkan seorang warga negara Filipina berusia 50 tahun dan seorang warga tempatan, 24 tahun.

“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan 29 tong berisi 35 liter petrol dengan jumlah keseluruhan 1,015 liter berada di dalam bot berkenaan.

“Semua minyak berkenaan terus dirampas untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM 17,725,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Abdul Karim berkata, bot berkenaan terus ditahan atas kesalahan melakukan aktiviti penyeludupan barangan terkawal yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 dan juga awak-awak bot tiada memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bot laju itu terus ditunda ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna manakala awak-awak bot terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Abdul Karim berkata, kedua-dua suspek turut dibawa ke Hospital Semporna bagi melaksanakan ujian saringan Covid-19 sebelum diserahkan semula kepada pihak IPD Semporna bagi siasatan lanjut.

Sehubungan itu, Abdul Karim berkata, kerjasama yang erat di antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), ESSCOM, Polis, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pasukan Polis Marin berada di tahap yang terbaik di dalam usaha menjamin keselamatan di Perairan Pantai Timur Sabah.

Katanya, anggota operasi juga diingatkan supaya sentiasa meningkatkan kesiagaan dan keupayaan operasi yang optimum bagi menangani cabaran keselamatan serta lain-lain ancaman sebilang masa.

“Operasi sentiasa dilaksanakan bagi memastikan sempadan negara selamat di dalam usaha menyekat jenayah rentas sempadan dan mengetatkan lagi kawalan sempadan melalui pelaksanaan Op Pasir dan Op Benteng Bersama di Perairan Pantai Timur Sabah,” katanya.

-Deasoka

Share

Written by:

573 Posts

View All Posts
Follow Me :
error: Content is protected !!