Mangsa hilang terakhir, ditemui

Mangsa hilang terakhir, ditemui

Labuan: Seorang lagi mangsa yang dilaporkan hilang ketika mandi di Pantai Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Jalan Sungai Pagar, di sini, semalam, ditemui meninggal dunia, hari ini.

Mangsa, Al Saeif Manahan, 17 tahun, ditemui jam 5.50 pagi tadi sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua dijalankan awal pagi, hari ini.

Katanya, operasi dijalankan membabitkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Operasi SAR membabitkan seramai 42 anggota dan pegawai yang dikerah ke lokasi kejadian bersama jentera dan bot untuk menjalankan operasi mencari.

“Operasi turut dibantu unit Scuba Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Jawa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam kejadian jam 2.30 petang semalam, dua beradik tiri yang melakukan aktiviti riadah di pantai dilaporkan hilang ketika mandi di laut berkenaan.

Bagaimanapun, seorang daripada mangsa, Faiez Rizal Adnan, 23, yang ditemui selamat dihantar ke Hospital Labuan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurut laporan, ketika ditemui, mangsa dilaporkan terapung dalam keadaan lemah sebelum diselamatkan pasukan mencari dan menyelamat JBPM yang menjalankan operasi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|