Hanya 3 peratus pelajar di Sabah dibenar ke sekolah untuk sesi bersemuka

Hanya 3 peratus pelajar di Sabah dibenar ke sekolah untuk sesi bersemuka

Kota Kinabalu: Hanya tiga peratus atau kira-kira 17,000 murid dan pelajar di Sabah dibenarkan hadir ke sekolah untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka mulai hari ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Dr Mistirine Radin, berkata mereka terdiri daripada pelajar Semester 2 Tingkatan 6, pelajar Semester 3 Pra Universiti Sekolah Sukan Malaysia dan pelajar sekolah antarabangsa yang akan menduduki peperiksaan.

Katanya, turut hadir ke sekolah untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka mulai hari ini ialah murid dan pelajar berkeperluan khas.

Beliau berkata, rekod Jabatan Pendidikan negeri menunjukkan kira-kira 4,000 murid berkeperluan khas di sekolah rendah dan hampir 4,000 pelajar berkeperluan khas di sekolah menengah dibenarkan hadir tanpa penggiliran.

“Sebanyak 145 sekolah, iaitu 90 sekolah rendah dan 55 sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) serta sebuah sekolah rendah swasta dibuka untuk kehadiran murid dan pelajar berkeperluan khas di seluruh Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, katanya sebanyak 103 sekolah menengah di bawah KPM dan tujuh sekolah menengah swasta dibuka untuk kehadiran pelajar Semester 2 Tingkatan 6, manakala sebuah Sekolah Sukan Malaysia dan tiga sekolah antarabangsa turut dibuka mulai hari ini.

Beliau berkata, bagi sekolah menengah di bawah KPM, kira-kira 8,000 pelajar Semester 2 Tingkatan 6 dibenarkan hadir ke sekolah, manakala seramai 201 pelajar Tingkatan 6 Atas atau Senior 3 bagi sekolah swasta.

“Bagi Sekolah Sukan Malaysia Sabah, hanya 24 pelajar Semester 3, Pra Universiti dibenarkan hadir. Selain itu ada 63 pelajar yang akan menduduki peperiksaan di sekolah antarabangsa turut dibenarkan hadir.

“Ketika ini ada empat sekolah antarabangsa di Sabah, masing-masing dua di Kota Kinabalu dan Tawau, namun sebuah sekolah antarabangsa menangguhkan pembukaan sekolah selama seminggu,” katanya.

Dalam pada itu, katanya daripada 8,000 pelajar Semester 2 Tingkatan 6, kira-kira 2,500 tinggal di asrama dan mereka sudah kembali ke asrama sekolah masing-masing sejak semalam.

Jelasnya, prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pelajar ke asrama mewajibkan ujian saringan kendiri Covid-19 pada hari pertama, disusuli ujian saringan kedua pada hari keenam dan ujian saringan ketiga pada hari ke-14.

Bagaimanapun, katanya pelajar asrama di sekolah harian hanya perlu menjalani sekali ujian saringan kendiri pada hari pertama, manakala ujian selanjutnya dibuat jika pelajar menunjukkan gejala.

Secara keseluruhan, katanya pembukaan sekolah untuk sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka di Sabah hanya membabitkan seramai kira-kira 3,000 guru.

Pembukaan sekolah untuk sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka di Sabah adalah mengikut SOP pembukaan sekolah dalam fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|