Kerajaan mahu lebih ramai pelajar ambil STEM

Kerajaan mahu lebih ramai pelajar ambil STEM

Kota Kinabalu: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan agensi berkaitan digesa supaya mengadakan lebih banyak inisiatif dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), untuk menarik lebih ramai pelajar mengikuti bidang berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, negara menghadapi pelbagai cabaran kerana perubahan dalam landskap global sekali gus memerlukan pelajar yang lebih bermotivasi tinggi dalam bidang STEM.

Katanya, kerajaan negeri juga akan terus memastikan sains dan teknologi memberi manfaat kepada semua orang ketika negara ini menuju ke arah negara maju dan berteknologi tinggi.

“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah mendapat kepercayaan daripada Yayasan Inovasi Malaysia untuk membina ruang reka flagship berkeluasan 2,000 kaki persegi di Bangunan Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC) di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

“Ia dilihat mampu membantu memacu inovasi dalam kalangan masyarakat di negeri ini,” katanya ketika merasmikan secara maya majlis penutupan Karnival Sains Sabah selama tiga bulan, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Hajiji berkata, Sabah menerima peruntukan sebanyak RM3.5 bilion melalui program Jaringan Digital Nasional atau JENDELA untuk meningkatkan capaian internet 4G di negeri ini kepada 90 peratus menjelang tahun 2023.

Katanya, sebanyak 51 menara telekomunikasi sudah siap dibina dan 483 lagi sedang dalam proses pembinaan.

“Program JENDELA adalah penting untuk menyokong agenda ekonomi digital dan menyediakan peluang daripada teknologi dan inovasi terkini.

“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi negeri juga akan memasang kemudahan Terminal Aperture yang Sangat Kecil (VSAT) di 300 lokasi, terutama di sekolah pada tahun depan,” katanya.

Hajiji berkata, kemudahan VSAT sudah dipasang di 55 lokasi pada tahun ini untuk melengkapkan program JENDELA dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Karnival Sains diadakan secara dalam talian melalui laman Facebook Karnival Sains Sabah dan saluran Youtube rasmi Kerajaan Negeri, Sabah Gov Official.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|