Mangsa diserahkan kepada keluarga untuk rawatan tradisional

Mangsa diserahkan kepada keluarga untuk rawatan tradisional

Kota Kinabalu: Pesakit wanita yang cuba terjun dari bangunan Hospital Queen Elizabeth II (HQEII), di sini, hari ini, dibenarkan balik bersama keluarga untuk menjalani rawatan tradisional.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata, wanita berusia 36 tahun terbabit sudah berkahwin dan seorang suri rumah.

Superintendan George Abd Rakman

Katanya, siasatan lanjut mendapati pesakit sedang menjalani rawatan di Medical Extension Ward, di hospital berkenaan.

“Pesakit terbabit berjaya diselamatkan oleh Pasukan Bomba Dan Penyelamat tanpa sebarang kecederaan.

“Hasil perbincangan antara keluarga pesakit dan doktor pakar yang merawat pesakit bersetuju untuk menyerahkan pesakit kepada keluarganya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

George berkata, beliau difahamkan wanita terbabit akan dibawa pulang bagi mendapatkan rawatan secara tradisional di kediaman mereka di daerah Beaufort.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, wanita terbabit didapati duduk di tingkap wad 3, tingkat tiga hospital berkenaan.

Pesakit yang lengkap berpakaian hospital itu kelihatan sedang duduk di tepi tingkap luar bangunan hospital sambil memegang cadar.

Pasukan bomba yang tiba dilokasi kejadian kemudiannya memujuk wanita itu sebelum berjaya dibawa masuk ke dalam bangunan tanpa sebarang insiden tidak diingini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|