Keputusan RUU mampu tingkatkan keupayaan negeri Sabah

Keputusan RUU mampu tingkatkan keupayaan negeri Sabah

Kota Kinabalu: Keputusan mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak yang diluluskan dalam Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan Persekutuan 2021 di Parlimen semalam, mampu meningkatkan keupayaan negeri ini lebih berdaya saing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, Datuk Raimi Unggi berkata, selain daripada membuka jalan kepada pemulihan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pindaan tersebut sekaligus membuktikan kerajaan pada hari ini mengambil kira nadi rakyat Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, Datuk Raimi Unggi

Jelas beliau, manifestasi Majlis Khas MA63 (MKMA) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yakoob turut memperlihatkan keikhlasan konsep Keluarga Malaysia dibawa kerajaan hari untuk mempertahankan hak di negeri ini.

“Saya berharap, kelulusan berkenaan dapat kita manfaatkan bersama dalam memajukan ekonomi Sabah yang terkesan akibat Covid-19 untuk lebih berdaya saing di masa hadapan.

“Sudah tentu, kelulusan RUU yang dipersetujui oleh majoriti Ahli Parlimen dalam sidang Parlimen semalam merupakan petanda positif buat kita rakyat Sabah.

“Sehubungan itu, konsep Keluarga Malaysia yang dibawa Perdana Menteri amat bertepatan dengan mengambil kira hak-hak rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya.

Terdahulu, semalam, RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan 2021 yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar diluluskan sebulat suara Ahli Parlimen melalui undian belah bahagi pada bacaan kedua dan ketiga.

Sementara itu, Raimi berkata, keputusan RUU tersebut boleh dimanfaatkan sepenuhnya untuk pembangunan negeri ini lebih-lebih lagi selepas negara Indonesia mewartakan ibu negara baharu mereka yang terletak berhampiran kawasan pedalaman Sabah, terutamanya di daerah Tenom dan sekitarnya.

“Oleh yang demikian, kita mahu perkara ini di ambil kira kerana tidak lama lagi, kita juga dapat limpahan pembangunan pesat susulan Indonesia bakal memindahkan ibu negara mereka di kawasan Kalimantan Timur yang saya kira amat berhampiran dengan Sabah dan Sarawak.

“Besar harapan kita sebagai rakyat Sabah, supaya perkara-perkara ini diangkat sebagai aspirasi negeri untuk lebih maju ke hadapan seiring dengan rancangan negara jiran dan dengan adanya sokongan Kerajaan Pusat yang terus berusaha memulihkan MA63, maka saya beranggapan ianya satu petanda positif kepada Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|