Cubaan menyusup masuk 42 PATI dipatahkan

Cubaan menyusup masuk 42 PATI dipatahkan

Semporna: Kerjasama erat Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) dalam memantau dan melaksanakan Op Benteng di perairan negara berjaya mematahkan satu lagi cubaan menyusup masuk warga asing ke perairan daerah ini, semalam.

Tiga elemen ATB2 membabitkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Darat Malaysia (TDM) segera melancarkan aset masing-masing sebaik mengesan pergerakan tiga bot yang membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina.

Dua bot membawa 42 PATI terbabit ditahan untuk pemeriksaan sebelum diiringi keluar daripada perairan negara.

Komander ATB 2, Brigedier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, kejadian pada awalnya disedari pesawat C-130H milik TUDM yang mengesan tiga bot bergerak dari arah Pulau Sitangkai, Filipina menuju ke perairan Bangau-Bangau, di sini.

Katanya, maklumat terus disalurkan kepada Malaysia Maritime Command Centre (MCC) yang berpusat di markas ATB 2 untuk diambil tindakan lanjut.

“Sehubungan itu, kapal KD Baung yang berada berhampiran lokasi terus dikerah untuk mengekori dan memantau bot berkenaan sebelum kehadiran pasukan Tim Quick Reaction Force (QRF) untuk menjalankan pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan mendapati hanya barang persendirian dan tiada sebarang penemuan barangan merbahaya dan terkawal.

“Bagaimanapun, hanya dua bot berjaya dipintas manakala sebuah lagi bot sempat berpatah balik ke sempadan antarabangsa selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Abdul Karim berkata, hasil pemeriksaan, dua bot berkenaan membawa seramai 42 PATI tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, mereka terdiri daripada 14 lelaki dewasa, 10 wanita serta 18 kanak-kanak lelaki dan perempuan.

“Hasil pemeriksaan rapi yang dilaksanakan mendapati hanya barangan persendirian dibawa dan tiada sebarang penemuan barang-barang merbahaya atau terkawal.

“Kedua-dua bot kemudiannya diiringi sehingga ke perairan antarabangsa bagi memastikan mereka keluar daripada sempadan negara,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Karim berkata, ini adalh hasil kerjasama yang erat antara ketiga-tiga perkhidmatan ATM dalam mengaturgerakkan aset di kawasan Pantai Timur Sabah.

Katanya, operasi ini akan sentiasa diteruskan bagi memastikan sempadan negara selamat di dalam usaha menyekat jenayah rentas sempadan selain mengawal penularan wabak Covid-19.

“Tahniah semua pasukan yang terlibat dalam usaha pengusiran PATI kali ini dan diharap sentiasa meningkatkan tahap kesiapsiagaan operasinya sepanjang masa.

“Kerjasama ini jelas menggambarkan sempadan negara dikawal dan ditangani secara serius oleh semua agensi penguatkuasaan demi kedaulatan di Pantai Timur Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|