Sabah juga perlu pinda perlembagaan – Jeffrey

Sabah juga perlu pinda perlembagaan – Jeffrey

Kota Kinabalu: Pengembalian peruntukan asal Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan hanyalah langkah pertama ke arah mengembalikan status sebenar Sabah dan Sarawak dalam persekutuan Malaysia.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, berkata selepas pindaan itu selesai, kini giliran Sabah pula meminda perlembagaannya sendiri bagi mengembalikan gelaran gabenor negeri daripada Yang di-Pertua Negeri kepada Yang di-Pertua Negara.

“Ini signifikan kerana ia menaikkan status kita sebagai sebuah negara berbanding ketika kita memanggil gabenor sebagai Yang di-Pertua Negeri.

“Kita perlu menanamkan dalam minda rakyat status sebenar Sabah, begitu juga Sarawak dalam Malaysia,” katanya dalam kenyataan sebagai maklum balas terhadap keputusan Dewan Rakyat kelmarin meluluskan sebulat suara Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan Persekutuan.

RUU itu antara lain bagi mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan setara dengan Semenanjung seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata ia juga akan mengembalikan sebutan asal Proklamasi Malaysia yang mana gabenor Sabah dipanggil sebagai Yang di-Pertua Negara Sabah.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus menuntut pengembalian sepenuhnya autonomi Sabah khususnya dalam bidang pendidikan dan kesihatan.

Ahli Parlimen Keningau itu berkata, sebagai tambahan kepada Perkara 1 (2), kecacatan lain dalam Perlembagaan Persekutuan turut berlaku dalam Perkara 160(2) yang menyebut persekutuan sebagai persekutuan yang diwujudkan di bawah Persekutuan Tanah Melayu melalui Perjanjian 1957.

“Sabah dan Sarawak tidak terbabit dalam perjanjian ini. Interpretasi ini mesti dibetulkan kerana jika tidak, apabila terma persekutuan digunakan di Perlembagaan Persekutuan, ia hanya merujuk kepada negeri di Malaya.

“Pindaan perlu dilakukan untuk mentafsir persekutuan sebagai persekutuan yang dibentuk mengikut Perjanjian Malaysia 1963 atau sandiwara Malaya berlagak sebagai Malaysia akan berterusan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|