PGA tahan tiga lelaki, rampas 59 gram syabu

PGA tahan tiga lelaki, rampas 59 gram syabu

Lahad Datu: Tiga lelaki ditahan bersama lebih 50 gram syabu dalam operasi yang dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jalan Lahad Datu-Tungku, di sini, hari ini.

Dalam operasi jam 8 pagi itu, ketiga-tiga lelaki warga asing berusia 25 hingga 46 tahun terbabit ditahan ketika menaiki kereta Perodua Viva, dalam keadaan mencurigakan.

Syabu bersama wang tunai yang dirampas. Pix Ihsan PGA Sabah

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, operasi dijalankan anggota dari task force Batalion 17 PGA Lahad Datu.

Katanya, sebaik ditahan pasukan operasi terus menjalankan pemeriksaan terhadap ketiga-tiga suspek dan kenderaan.

Dadah syabu seberat 59.03 gram. Pix Ihsan PGA Sabah

“Hasil pemeriksaan mendapati, salah seorang suspek yang membawa beg galas berisi 10 paket plastik berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 59.03 gram.

“Turut dirampas sebuah alat penimbang digital, telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM1,150,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, semua suspek dan barangan dirampas terus dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, semua barangan dirampas termasuk dadah dan kenderaan dianggarkan bernilai RM20,153.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|