Sabah teruskan bantuan khas pendidikan – Hajiji

Sabah teruskan bantuan khas pendidikan – Hajiji

Tuaran: Kerajaan negeri akan meneruskan beberapa bantuan khas pendidikan sejajar komitmen membangunkan agenda pendidikan kepada golongan yang memerlukan di Sabah pada tahun depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata bantuan khas yang diperkenalkan oleh kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu bertujuan memastikan setiap anak Sabah mempunyai akses dan tidak dinafikan hak untuk mendapatkan pendidikan.

Hajiji menyerahkan sumbangan Program Ceria Ke Sekolah TNB / SESB di Tuaran.

Beliau berkata, menerusi Belanjawan Sabah 2022, Program Bantuan Sosial Sekolah seperti pakaian seragam, kasut dan alat tulis akan diteruskan membabitkan 289,204 murid dengan peruntukan sejumlah RM13.9 juta.

“Kerajaan Negeri GRS juga akan meneruskan dua lagi bentuk bantuan khas pendidikan yang diperkenalkan tahun lalu iaitu Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) dan Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) yang melibatkan peruntukan masing-masing sebanyak RM10 juta dan RM7.5 juta.

Hajiji menyerahkan sumbangan Sekolah Angkat SESB kepada SK Lokub, Kiulu,Tuaran.

“Pada tahun hadapan, kerajaan negeri akan memperkenalkan dan melaksanakan satu inisiatif baharu iaitu Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI) dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.

“Melalui BISTARI, setiap anak Sabah yang dilahirkan bermula tahun 2022 akan ditawarkan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan bantuan sejumlah RM100 yang disumbangkan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Hajiji menyerahkan sumbangan kepada golongan asnaf di Tuaran.

Hajiji berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Sumbangan Program Ceria Ke Sekolah Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman.

SESB turut menyumbang untuk Program Sekolah Angkat SESB, asnaf, lima masjid dan empat Pusat Maahad Tahfiz Daerah Tuaran pada majlis berlangsung di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah, Kampung Lok Batik, hari ini.

Hajiji menyerahkan sumbangan kepada Masjid Haji Noor, Kampung Serusop, Tuaran.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid.

Hajiji berkata, selepas mengambil alih tampuk pemerintahan Sabah, GRS memperkenalkan pelbagai bantuan khas pendidikan pada tahun lalu iaitu BUDI dan BAKTI, bagi meringankan beban rakyat di negeri ini.

Hajiji menyerahkan sumbangan kepada Maahad Tahfiz Taqwa Kampung Laya-Laya, Tuaran.

Selain itu katanya, pemberian komputer riba membabitkan peruntukan RM15 juta turut dilaksanakan khusus untuk pelajar menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada tahun ini.

Jelasnya, pengagihan 10,000 unit komputer riba itu dilaksanakan menerusi Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) yang bermula pada Julai hingga Oktober lalu.

“Ini adalah kaedah yang kita ambil untuk membantu pelajar yang tidak berkemampuan agar tidak tercicir dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR),” katanya.

Sementara itu Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, menyifatkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB dan SESB sebagai langkah yang baik dalam membantu masyarakat.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan pembabitan syarikat swasta, individu berkepentingan dan badan bukan kerajaan (NGO) melaksanakan CSR mereka di negeri ini.

“Komitmen itu diperlukan bagi membantu golongan asnaf, fakir miskin, anak-anak yatim, ibu tunggal dan golongan yang memerlukan di seluruh negeri.

“Oleh itu, saya berharap lebih banyak lagi syarikat swasta, NGO dan orang persendirian akan turut melaksanakan program CSR di negeri ini,” katanya.

Beliau yakin usaha murni TNB dan SESB ‘memberi semula kepada masyarakat’ akan memberi kesan yang mendalam kepada anak-anak untuk mempersiapkan diri dalam pembelajaran di sekolah.

Hajiji turut menyatakan harapan agar aktiviti CSR tidak dianggap sebagai konsep bermusim kerana masih ada rakyat yang hidup dalam kesusahan dan
memerlukan bantuan, terutama disebabkan pandemik Covid-19.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|