Mangsa dipercayai terbabas sendiri

Mangsa dipercayai terbabas sendiri

Kota Kinabalu: Mangsa penunggang motosikal yang ditemui meninggal dunia di Jalan Kepayan, berhampiran Aeropod, di sini, semalam, dipercayai terbabas sendiri.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KBSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Jo Ak Hang berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 23 tahun dipercayai dalam perjalanan dari pusat bandar menghala ke Kepayan.

Katanya, sebaik sampai dilokasi kejadian, mangsa disyaki hilang kawalan dan terbabas ke bahu kiri jalan sebelum masuk ke dalam longkang.

“Mangsa dikenali sebagai Mac Drint Manus, menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR. Kemalangan disyaki berlaku pada awal pagi, semalam, berdasarkan keadaan mayat mangsa.

“Kejadian hanya disedari seorang pejalan kaki yang sedang melalui kawasan berkenaan sebelum menghubungi polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jo berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) Ariff Akmal pada jam 4.55 petang, dilokasi kejadian.

Sehubungan itu, Jo berkata, mangsa tidak disyaki mabuk namun, sampel darah akan diambil semasa bedah siasat dijalankan untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisis alkohol dan dadah.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|