Kota Kinabalu: Operasi Op Khazanah Bersepadu berjaya menemui 10,000 kilogram kulit kayu tangar yang dipercayai dicuri dari Hutan Simpan Kuala Sungai Paitan, Sungai Sugut, Pulau Jambongan, Beluran, semalam.
Dalam operasi jam 2 petang itu, semua kayu berkenaan ditemui ditinggalkan di dalam sebuah kapal yang dipercayai dari Filipina.
Kulit kayu tangar bernilai RM350,000 dicuri dari hutan simpan dirampas pasukan keselamatan. Gambar ihsan PGA Sabah
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, operasi dijalankan pegawai dan anggota Batalion 20 PGA Beluran dengan kerjasama Jabatan Perhutanan dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).
Katanya, ketika rondaan yang dijalankan, pasukan operasi menemui sebuah kapal beserta enjin yang tidak berdaftar yang dipercayai digunakan oleh penceroboh.
Bot bersama kulit kayu tangar dilupuskan dengan membakar semua termasuk bot yang disyaki dari Filipina. Gambar ihsan PGA Sabah
“Pasukan operasi terus melakukan pemeriksaan di kawasan sekitar dan tidak menemui mana-mana individu atau kesalahan lain di lokasi.
“Rampasan kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Perhutanan untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
10,000 kilogram kulit kayu tangar yang dipercayai dicuri dari Hutan Simpan Kuala Sungai Paitan, Sungai Sugut, Pulau Jambongan, Beluran.
Abdul Rani berkata, semua kayu yang ditemui dianggarkan bernilai RM350,000 berdasarkan harga pasaran semasa.
Manakala katanya, kapal yang digunakan pula dianggarkan bernilai RM80,000 dan menjadikan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM450,000.
Anggota Batalion 20 PGA Beluran bersama agensi lain memeriksaan bot bawa muatan kulit kayu tangar yang dicuri dari hutan simpan. Gambar ihsan PGA Sabah
“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 23 Enakmen Perhutanan 1968 dan Peraturan-Peraturan Hutan 1969.
“Pegawai penyiasat Jabatan Perhutanan kemudiannya mengambil tindakan melupuskan dengan membakar semua kulit kayu berkenaan termasuk bot ditemui,” katanya.
-Deasoka