Kota Kinabalu: Kerajaan negeri menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk mengkaji punca dan mencari penyelesaian terhadap kejadian banjir kilat yang sering berlaku di beberapa daerah di Sabah, termasuk di bandar raya ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata Jawatankuasa Menangani Banjir Kilat itu diwujudkan sebagai langkah susulan berikutan kejadian banjir kilat yang sering berlaku sejak kebelakangan ini.
Katanya, objektif utama penubuhan jawatankuasa itu bagi menangani isu banjir kilat di Sabah menerusi tindakan pemantauan dan penguatkuasaan, selain mengenal pasti punca dan tindakan jangka pendek serta jangka panjang.
“Selain itu, jawatankuasa ini juga akan menyelaraskan tindakan antara agensi menerusi bidang kuasa masing-masing supaya tindakan bersepadu dapat diambil,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Penubuhan jawatankuasa itu diputuskan pada mesyuarat membincangkan isu kejadian banjir kilat yang dipengerusikan Bung Moktar, semalam.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata jawatankuasa itu dianggotai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah serta agensi lain yang berkaitan.
“Pembabitan pelbagai agensi dalam jawatankuasa ini penting kerana isu banjir kilat bukan hanya disebabkan faktor cuaca, malah ada pelbagai lagi punca yang memerlukan tindakan bersepadu semua pihak,” katanya.
Bung Moktar berkata jawatankuasa berkenaan bertindak sebagai pemandu yang akan turun ke lapangan untuk membuat kajian terperinci bagi mengenal pasti punca banjir kilat sering berlaku selain daripada faktor cuaca.
Katanya, jawatankuasa itu kemudiannya akan mencadangkan cara mengatasi banjir kilat selain menyediakan anggaran kos bagi membina atau mendalamkan sungai dan membesarkan sistem perparitan sedia ada.
Jelasnya, Sabah sering berdepan tiga bencana alam utama iaitu banjir, banjir kilat dan tanah runtuh yang punca utamanya ialah faktor semulajadi iaitu hujan lebat yang dibawa angin Monsun Timur Laut.
Namun, katanya faktor campur tangan keterlaluan manusia melalui aktiviti pembangunan dan tindakan tidak lestari memburukkan lagi kejadian banjir dan tanah runtuh di sesuatu kawasan.
“Terdapat keperluan segera untuk mengutamakan penyesuaian perubahan iklim dan pengurangan risiko bencana dengan menjadikannya sebagai agenda arus perdana dalam perancangan pembangunan.
“Langkah utama mengatasi banjir adalah dengan mempunyai dasar, perancangan dan pelan tindakan mengurangkan risiko banjir yang mantap. Pelan ini perlu diintegrasi dengan pelan pembangunan sosial dan ekonomi supaya dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan,” katanya.
Dalam pada itu Bung Moktar turut menekankan kepentingan kesedaran masyarakat dalam memelihara alam semulajadi melalui interaksi lestari dalam segala aspek kehidupan sebagai pendekatan utama mencegah kejadian banjir dan tanah runtuh.
Minggu lalu, beberapa daerah di Sabah, khususnya Kota Kinabalu dan Penampang dilanda banjir kilat yang menyebabkan banyak kerosakan dan kerugian harta benda kepada penduduk kampung.
-Deasoka