SESB laksana inisiatif kurangkan risiko gangguan ketika bencana alam

SESB laksana inisiatif kurangkan risiko gangguan ketika bencana alam

Kota Kinabalu: Pelbagai inisiatif dan mitigasi untuk mengurangkan risiko gangguan bekalan elektrik ketika berlaku bencana alam sudah dilaksanakan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Penambahbaikan berterusan itu akan terus diusahakan memandangkan terdapat kawasan baharu dilanda banjir selain kaedah lain yang boleh dilaksanakan untuk mengurangkan impak kepada pengguna.

Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah kerja-kerja pemantauan serta penyelenggaraan berkala disamping penyediaan janakuasa bergerak khasnya di kawasan-kawasan yang sering dilanda banjir.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, SESB menganggarkan kerugian jutaan ringgit berikutan kerosakan yang dialami akibat banjir dan hujan lebat berterusan.

Katanya, bencana itu menyebabkan pelbagai kerosakan pada cerun tapak tiang menara talian penghantaran selain kerosakan pada tiang elektrik talian pembahagian dan pencawang elektrik di beberapa kampung.

“Walaubagaimanapun, SESB berjaya melaksanakan tindakan-tindakan mitigasi interim awal ke atas lebih 50 menara talian yang terlibat.

“Selain itu, SESB juga berjaya membekalkan elektrik semula kepada hampir semua pengguna di kampung-kampung terlibat pada tempoh segera,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam lawatan susulan ke tapak banjir di Kampung Sugud dan tapak menara penghantaran di Kampung Minintod Penampang, hari ini.

Abdul Nasser berkata, tidak dinafikan, terdapat tempat yang memerlukan lebih masa untuk dibaikpulih disebabkan oleh kekangan yang tidak dapat dielak.

Katanya, antara kesukaran pasukan teknikal adalah disebabkan jalan tidak dapat dilalui dan keadaan yang tidak selamat untuk melakukan kerja-kerja pembaikan.

“Kebanyakan tiang elektrik dan pencawang kecil yang berada di bahu jalanraya adalah dua pepasangan yang sering terjejas apabila berlaku bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh.

“Pokok-pokok yang rebah akibat tanah runtuh akan menimpa tiang dan kabel. Manakala pokok-pokok yang dibawa arus banjir yang deras akan juga boleh merosakkan struktur pencawang kecil serta peralatan di dalamnya,”katanya.

Menurutnya, setakat ini, lebih 100 talian Pembahagian dan dua pencawang elektrik kecil di bahu jalanraya rosak teruk.

Disamping itu katanya, lebih 50 menara talian penghantaran juga terjejas oleh hakisan tanah runtuh akibat cuaca buruk melanda beberapa kawasan di Pantai Barat dalam tempoh dua minggu ini.

Sementara itu, mengulas mengenai kedudukan menara penghantaraan milik SESB di Kampung Maang, Penampang, Abdul Nasser berkata, SESB sudah melaksanakan langkah interim yang sepatutnya bagi mengurangkan hakisan akibat hujan yang berpanjangan.

Katanya, untuk tiang menara yang berisiko, SESB bersama konsultan dan kontraktor yang dilantik sudah mula melaksanakan kerja-kerja rehabilitasi dan penstabilan cerun secara kekal dengan dipantau oleh pasukan teknikal SESB sendiri.

“SESB juga memohon kerjasama masyarakat supaya tidak menularkan berita tidak benar berkaitan SESB seperti dakwaan akan memutuskan bekalan elektrik secara besar-besaran.

“Berita seperti ini tidak betul kerana SESB sentiasa mempunyai pelan mitigasi operasi untuk meneruskan pembekalan elektrik.

“Berita palsu sebegini akan hanya menimbulkan panik dan tidak akan membantu keadaan,” katanya.

Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan untuk terus melaporkan segera aduan kecemasan seperti wayar elektrik putus, tiang tumbang dan pokok tumbang ke atas talian elektrik kepada SESB Careline 15454 atau 088-515000 atau whatsapp 019- 852 5427.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|