Kota Kinabalu: Penduduk dewasa lengkap vaksin Covid-19 di Sabah meningkat kepada 1,657,028 orang atau 61 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi dewasa di negeri ini, setakat semalam.
Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata penerima satu dos vaksin pula berjumlah 1,974,443 orang atau bersamaan 72.7 peratus.
Katanya, bagi vaksinasi remaja berumur antara 12 tahun hingga 17 tahun, seramai 184,885 orang menerima dos pertama vaksin atau 43.4 peratus daripada jumlah keseluruhan setakat semalam.
“Untuk vaksinasi penduduk Sabah semalam, seramai 48,601 orang menerima suntikan, masing-masing 28,577 orang adalah penduduk dewasa dan seramai 20,024 orang adalah penduduk remaja.
“Kumulatif penduduk Sabah yang sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19 dan CanSino setakat 23 September 2021 adalah seramai 2,159,328 orang,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Sabah kini dalam usaha mencapai imuniti kelompok atau 80 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin yang disasar pada akhir bulan depan.
Sementara itu, Sabah hari ini mencatat 1,273 kes baharu Covid-19, manakala sebanyak 43 kes kematian dengan jumlah tertinggi dilaporkan di Sandakan sebanyak 13 kes.
Selebihnya sebanyak lima kes di Tawau, masing-masing empat kes di Lahad Datu dan Penampang, masing-masing dua kes di Kota Kinabalu, Tuaran, Kalabakan dan Putatan, manakala masing-masing satu kes di Ranau, Pitas, Telupid, Kunak, Nabawan, Kota Belud, Keningau, Semporna dan Kota Marudu.
-Deasoka