Mayat penunggang motosikal dijumpai dalam longkang

Mayat penunggang motosikal dijumpai dalam longkang

Kota Kinabalu: Seorang penunggang motosikal yang dipercayai terbabit dalam kemalangan di Jalan Kepayan, berhampiran Aeropod, di sini, malam tadi, ditemui, hari ini.

Mangsa berusia 23 tahun beralamat Kampung Toboh Laut, Keningau ditemui orang awam dalam keadaan sadis selepas dipercayai terlipat di dalam longkang di tepi jalan berkenaan kira-kira jam 4.30 petang tadi.

Pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth (HQE) yang turut hadir di lokasi kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Lelaki yang enggan dikenali berkata, sebelum menemui mangsa, dia sedang berjalan kaki melalui jalan berkenaan seorang diri.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi penemuan itu, dia menyedari terdapat sebuah motosikal di tepi celah semak berhampiran.

“Saya terus menghampiri motosikal berkenaan sebelum menyedari terdapat seorang lelaki terbaring di dalam longkang berkenaan.

“Terkejut dengan penemuan itu, saya terus menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Difahamkan mangsa dipercayai sudah meninggal dunia hampir 24 jam berdasarkan keadaan tubuhnya mulai membengkak.

Sementara itu, tinjauan di lokasi kejadian mendapati keadaan mangsa yang terbaring di dalam longkang di tepi jalan berkenaan sememangnya sukar dilihat pengguna jalan raya lain.

Sepasukan polis juga dilihat tiba di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca kemalangan berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|