STAR sedia bekerjasama demi kepentingan Sabah

STAR sedia bekerjasama demi kepentingan Sabah

Kota Kinabalu: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) sedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik demi kestabilan politik dan usaha mencapai kata sepakat untuk menuntut hak Sabah.

Presidennya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata pihaknya mengambil pendekatan terbuka terhadap mana-mana parti, khususnya parti tempatan bagi merealisasukan usaha berkenaan.

“Kami terbuka kepada apa sahaja cadangan dan kami dapat bekerjasama dengan mana-mana parti politik seperti apa yang telah kami lakukan selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran usaha sama di antara KOPSTAR Holdings Sdn Bhd dan Trucknet Machinery Trading Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri berharap semua parti politik, khususnya parti politik tempatan dapat mengetepikan perbezaan dan bekerjasama sebagai satu entiti seperti di negeri jiran Sarawak.

“Ini supaya kita menjadi lebih kuat. Saya rasa itu ideal dan suatu hari nanti, mungkin ia akan berlaku. Marilah kita berusaha ke arah itu,” katanya.

Beliau juga berkata pada masa ini, terdapat perpaduan di antara kerajaan dan pembangkang berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan isu pengembalian hak-hak Sabah.

Sebagai contoh, katanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam, semua Ahli DUN (ADUN) sebulat suara menolak Akta Laut Wilayah 2012 yang mengurangkan wilayah laut Sabah dan Sarawak daripada 12 batu nautika menjadi tiga batu nautika iaitu pengurangan sembilan batu nautika atau 16.5 kilometer.

Pada April lalu, Jeffrey juga mengeluarkan kenyataan menentang akta itu yang dianggapnya sebagai bertentangan dengan perlembagaan.

Beliau menuntut agar undang-undang berkenaan hanya terbatas di Semenanjung kerana Sabah dan Sarawak tidak pernah bersetuju terhadap akta itu.

Sementara itu, mengenai acara hari ini, Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri berkata usahasama itu diharap dapat membantu anggota koperasi, terutama petani dalam mengangkut dan memasarkan hasil tani mereka.

“Melalui perjanjian ini, anggota koperasi dapat memiliki mesin ringan melalui pembiayaan pembelian mudah yang dirancang oleh KOPSTAR,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KOPSTAR, Datuk Iskandar Abdul Malik, berkata koperasi itu berharap dapat mengedarkan 2,000 trak ringan kepada anggota dan pembeli lain yang berminat.

“Trak ini 20 peratus lebih murah berbanding dengan kenderaan sepertinya. Ahli koperasi yang berminat boleh menghubungi kami, dan kami akan membantu dengan memberikan bantuan kewangan secara kredit mikro dengan jumlah minimum RM2,000 setiap peserta,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|