KATC, SCENIC dan Aerodyne meterai MoU lahirkan pakar teknologi dron di Sabah

KATC, SCENIC dan Aerodyne meterai MoU lahirkan pakar teknologi dron di Sabah

Kota Kinabalu: Pusat Latihan Aeroangkasa KKIP (KATC) melalui Mega Aerospace Centre Sdn Bhd bersama dua pakar berkaitan hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan kerjasama melahirkan tenaga kerja mahir dalam industri aeroangkasa di Sabah.

Kerjasama julung kali di antara KATC, Pusat Inovasi dan Ekonomi Kreatif Sabah (SCENIC) dan Kumpulan Aerodyne itu bakal menyaksikan penggunaan dan pengembangan teknologi dron dalam kalangan pihak berkepentingan yang berkaitan di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata usaha itu selari dengan satu daripada elemen penting Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025 iaitu tumpuan dalam pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat Sabah.

“Kami berharap selepas MoU ini, KK Aerospace akan menjadi pusat latihan yang termasyhur di rantau ini khususnya dalam bahagian teknikal yang berkaitan dengan kapal terbang dan pesawat tanpa pemandu atau dron.

“Ia juga diharapkan dapat menyediakan modal insan yang terbaik dan berkualiti, yang mana sijil yang diberi nanti boleh diguna pakai di mana-mana industri di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Kementerian Pembangunan Perindustrian komited menyokong syarikat yang mahu menaikkan taraf rakyat Sabah untuk menjadi barisan pengurusan di masa akan datang,” katanya.

Dr Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah berkata demikian pada majlis menandatangani MoU berkenaan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KATC, Aminuddin Zakaria, berkata dengan fasiliti dan kampus latihan serba lengkap, ia mampu menyediakan juruteknik profesional mahir untuk memenuhi keperluan tenaga kerja pada masa depan.

“KATC juga akan menyediakan ruang kepada Aerodyne untuk meletakkan aset mereka dan melaksanakan penyelenggaraan dron.

“Terdapat juga kemungkinan untuk membina landasan dron di ruang kosong dalam kawasan KATC untuk kegunaan pada masa depan,” katanya.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Aerodyne, Kamarul A Muhamed, pula berkata sepanjang kerjasama itu, pihaknya akan bersama-sama KATC untuk melatih dan membangunkan modal insan dalam Teknologi Dron serta Teknologi Data dan Transformasi Digital.

“Aerodyne akan membentuk kehadiran sebuah pasaran yang kukuh dan membawa teknologi terasnya ke Sabah.

“Melalui kerjasama ini, Aerodyne berharap untuk menyokong transformasi digital industri tempatan seperti ketepatan pertanian, pemantauan geospatial, pengurusan pelabuhan, pemantauan projek dan banyak lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar SCENIC, Viviantie Sarjuni, berkata kerjasama berkenaan akan merangkumi empat aspek iaitu sokongan industri, modal insan, keupayaan pembangunan dan inisiatif latihan, peluang pasaran baharu wilayah dan komersial serta pusat operasi.

“Dalam tempoh dua tahun ini, SCENIC akan memberi tumpuan kepada kerjasama dengan Aerodyne iaitu penyedia penyelesaian perniagaan berasaskan dron yang terbesar di dunia.

“Kita juga bekerjasama dengan KATC dalam menyediakan keperluan industri dan kepakaran, selain sama-sama bekerja dalam mereka bentuk, pembangunan dan penyampaian kenderaan aerial tanpa pemandu (UAV).

“SCENIC bersama dengan KATC akan meneroka dan menyokong Aerodyne dalam meluaskan pasaran wilayah, memanfaatkan sepenuhnya Pusat Kecemerlangan dan mengejar kerjasama berpotensi yang lain, peluang, komitmen serta acara dan penyelarasan di Sabah.

Pada majlis itu, Dr Joachim dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Zainudin Aman menyaksikan majlis menandatangani MoU itu di antara Aminuddin (KATC), Kamarul (Aerodyne) dan Viviantie (SCENIC).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|