Peniaga mengaku bersalah memberi suapan kepada pihak berkuasa

Peniaga mengaku bersalah memberi suapan kepada pihak berkuasa

Kota Kinabalu: Seorang peniaga mengaku bersalah atas dua pertuduhan memberi suapan RM500 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Tertuduh, Sharif-Ud-Din, 40, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu Abu Bakar Manat selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya, hari ini.

Sharif kemudiannya dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan denda RM20,000.

Bagaimanapun, sekiranya gagal membayar denda, tertuduh boleh dikenakan penjara selama empat bulan.

Mengikut pertuduhan, Sharif didakwa melakukan kesalahan itu pada 22 April dan 23 Mac 2020 di premis Shahid Enterprise.

Tertuduh didakwa memberikan wang itu supaya tidak diambil tindakan atas kesalahan memiliki sejumlah rokok tanpa cukai pelbagai jenis membabitkan kesalahan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) Akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa dari SPRM Rekraj Singh manakala tertuduh diwakili peguam Ansari & Co.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|