Lima PATI ditahan, cuba masuk Tawau

Lima PATI ditahan, cuba masuk Tawau

Tawau: Cubaan lima pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk ke daerah ini gagal selepas berjaya dikesan pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), di Kampung Kurnia Jaya, di sini, Ahad lalu.

Dalam operasi jam 7.55 malam itu, kumpulan PATI berkenaan yang dipercayai cuba menggunakan laluan tidak diwartakan ditahan
dalam OP Cegah Pati (OCP) Daratan ESSCOM.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, kumpulan PATI terbabit ditemui ketika sepasukan anggota ESSCOM sedang menjalankan tugas rondaan di kawasan kampung berkenaan.

Katanya, semua individu terbabit dipercayai baru tiba dari negara jiran dan ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki dan dua wanita serta dua kanak-kanak diperiksa selepas disyaki baru tiba dari negara jiran.

“Pemeriksaan lanjut mendapati semua mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan mengaku baru tiba dari Indonesia menggunakan laluan tikus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahmad Fuad berkata, tiada sebarang rampasan barang yang menyalahi undang-undang ditemui bersama-sama kumpulan suspek.

“Semua yang ditahan berusia lingkungan 10 hingga 40 tahun dan semua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002),” katanya.

Sementara itu, Ahmad Fuad merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua anggota keselamatan yang terbabit dalam menjayakan operasi berkenaan.

Katanya, ESSCOM akan sentiasa mengatur gerak operasi keselamatan di kawasan daratan dan laut bagi mencegah dan membanteras aktiviti penyeludupan migran serta kemasukan pati.

“ESSCOM juga sentiasa memantau pergerakan kegiatan militan serta Kidnapping for ransom group (KFRG) yang dilihat menjadi ancaman keselamatan kepada negeri ini.

“Operasi-operasi seumpama ini akan sentiasa digerakkan 24 jam tanpa henti dengan kerjasama dan sokongan semua pasukan keselamatan di kawasan ESSZONE.

“Ia bagi memastikan semua aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk kegiatan culik untuk tebusan dapat dibanteras dengan jayanya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|