Wanita selamat lahirkan anak atas bot penambang

Wanita selamat lahirkan anak atas bot penambang

Kota Kinabalu: Seorang ibu terpaksa melahirkan bayi perempuan di atas sebuah bot dalam kejadian di perairan Kota Kinabalu, berhampiran Pasar Safma, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, wanita berusia 30-an yang tinggal di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, dekat sini, dikatakan dibawa menaiki bot selepas mengadu sakit mahu bersalin.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, wanita terbabit tidak lagi dapat menahan dan terus melahirkan anak di atas bot penambang berkenaan.

Kehadiran mereka di jeti penambang Kota Kinabalu, kemudiannya menarik perhatian pasukan polis yang sedang berkawal berikutan kawasan Pulau Gaya, diisytiharkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Sebaik diperiksa, pegawai dan anggota polis yang dimaklumkan mengenai kelahiran bayi itu terus bertindak mendapatkan bantuan daripada hospital berhampiran.

Pasukan polis yang diketuai Asisten Superintendan Polis (ASP) Johri Rubinsin bersama dua anggota polis dan Rela kemudiannya mendapati keadaan wanita terbabit sangat lemah dan terus bertindak membantunya naik ke atas jeti.

Selain itu, pasukan polis turut membantu bayi dengan mengikat uri pada tali pusat bagi mengelakkan sebarang jangkitan kuman.

Keadaan menjadi lebih terkawal selepas ketibaan pasukan paramedik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) yang kemudiannya memberikan rawatan awal sebelum membawa wanita terbabit bersama anaknya ke hospital.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|