Pusat hiburan langgar SOP wajar dihukum penjara

Pusat hiburan langgar SOP wajar dihukum penjara

Kota Kinabalu: Persatuan Pengguna Bijak Sabah menyarankan pihak kerajaan supaya bertindak lebih tegas terhadap premis yang masih degil terhadap arahan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Presidennya, David Chan berkata, pihaknya mendapati masih ada pihak yang mengabaikan arahan berkenaan termasuk dalam kes terbaru membabitkan serbuan di sebuah pusat hiburan.

Katanya, dalam kes itu, pihak berkenaan jelas mengambil ringan terhadap kepentingan pematuhan SOP dalam usaha kerajaan mengekang penularan wabak Covid-19.

“Kerajaan tidak lagi boleh sekadar mengenakan kompaun tetapi perlu mengenakan satu bentuk hukuman lebih berat termasuk penjara.

“Kita mahu pihak yang seolah-olah mencabar arahan kerajaan ini dikenakan tindakan tegas kerana ia bukan saja melanggar undang-undang tetapi juga boleh menyebabkan wabak Covid-19 terus menular dalam komuniti,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

David berkata, pihaknya tidak mahu hanya kerana sikap segelintir pihak ini, seluruh sektor perniagaan, kedai-kedai makan dan penjaja kecil tidak dibenarkan beroperasi akibat wabak yang berterusan merebak.

Katanya, kadar penularan wabak Covid-19 harian di Sabah masih tinggi iaitu 720 kes kelmarin dan di Kota Kinabalu saja mencecah sebanyak 151.

“Ia yang jelas menunjukkan bahawa semua pihak perlu bekerjasama mengekang wabak Covid-19 ini.

“Ia sangat mengecewakan apabila pemilik pusat hiburan tanpa rasa malu membuka operasi dan saya yakin mereka juga tidak ada masalah untuk membayar kompaun.

“Oleh itu, jika kompaun tidak mampu memberikan pengajaran kita minta kerajaan mengenakan hukuman lebih berat dan setimpal ketika wabak yang masih berterusan hingga kini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|