Sabah dalam usaha mencapai 60 peratus vaksinasi menjelang Oktober

Sabah dalam usaha mencapai 60 peratus vaksinasi menjelang Oktober

Keningau: Sabah berada dalam usaha untuk mencapai matlamat sekurang-kurangnya 60 peratus penduduk di negeri ini diberi vaksin pada Oktober menerusi program jangkauan luar (mobile outreach).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, berdasarkan angka Program Vaksinasi Jangkauan Luar, Pasukan Petugas Khas Imunisasi
COVID-19 (CITF), jumlah penduduk yang disuntik telah melebihi sasaran
selama empat hari berturut-turut bermula 21 Julai lalu.

Katanya, penduduk yang sudah mendapatkan vaksin dos pertama atau kedua adalah seramai 31,375, manakala pada 22 Julai (32,293), 23 Julai (35,749) dan 24 Julai (32,504).

“Dengan ketibaan vaksin dos tunggal CanSino yang dijangkakan pada bulan
depan, Sabah kini berada dalam rangka untuk mencapai sasaran itu,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) daerah di Kompleks Sukan Keningau di sini, hari ini.

Menurutnya, dengan pembukaan PPV Integrasi pertama Sabah di Pusat
Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), esok akan membantu meningkatkan kadar vaksinasi di negeri ini.

“Bersama dengan program sedia ada iaitu Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) untuk pekerja industri, PPV Integrasi yang membabitkan dua organisasi Penjagaan Kesihatan swasta diharap dapat meningkatkan vaksinasi daripada 1,500 hingga 10,000 sehari, ” katanya.

Sementara itu, mengulas perkara sama, beliau berkata, Sabah akan menerima satu juta dos vaksin Pfizer dan dijangka penghantaran sebanyak 1.8 juta dos vaksin CanSino menjelang bulan depan.

Sementara itu, mengulas berhubung bantuan bakul makanan dan bantuan secara tunai one-off, Hajiji berkata sebanyak 84.25 peratus atau RM88,815,600 daripada RM120,469,481 yang diperuntukkan di bawah Bantuan Sabah Prihatin (BSP) 3.0 sudah disalurkan.

“Sebanyak RM45,612,200 yang telah diperuntukkan di bawah Kementerian
Pembangunan Luar Bandar Sabah adalah sebahagian daripada RM120 juta dan
hampir keseluruhannya sudah disalurkan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|