‘Spiderman’ terima vaksin Covid-19

‘Spiderman’ terima vaksin Covid-19

Kota Kinabalu: Kelibat dua individu yang mengenakan kostum karakter adiwira ‘Spiderman’ dan ‘Captain Marvel’ untuk menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) IPT UMS, di sini, petang tadi, menarik perhatian ramai.

Kedua-dua adiwira yang tiba di PPV berkenaan kira-kira jam 2 petang tadi turut mendapat perhatian hingga ramai mendekati mereka untuk bergambar.

Hasryman Osman, 40-an, yang memakai kostum Adiwira ‘Spiderman’ berkata, kostum yang dipakai hanya sebagai salah satu cara menggalakkan lebih ramai tampil menerima vaksin berkenaan.

Katanya, umum mengetahui sebagai adiwira kebiasaannya kuat dan kebal namun ia tidak menjamin kita selamat dari penularan Covid-19.

“Saya dan isteri yang datang hari ini, mahu memberikan sokongan dan menggalakkan orang ramai supaya tampil mendapatkan vaksin Covid-19.

Hasryman bersama isterinya yang memakai kostum adiwira Spiderman dan Captain Marvel bergambar bersama orang ramai yang tertarik dengan pakaian mereka.

“Kita tidak perlu risau kerana vaksin yang disediakan ini akan dapat membantu kita menghindari jangkitan virus Covid-19,”
katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, dia amat gembira kerana mendapat giliran untuk suntikan pertama vaksin berkenaan dan tidak sabar untuk menerima suntikan kedua.

Dalam pada itu, adiwira ‘Captain Marvel’, Siti Fatimah Kamaruddin, 30-an, berkata, kehadirannya di lokasi pemberian vaksin adalah bagi memberi sokongan kepada suaminya.

Katanya, suami adalah seorang yang takut kepada suntikan namun bersyukur kerana proses hari ini berjalan lancar.

“Kita berharap, selepas ini lebih ramai rakyat Sabah menerima suntikan vaksin dan seterusnya dapat hidup dalam norma kehidupan biasa seperti sebelumnya,” katanya.

Sementara itu, pengarah Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS), Prof Dr Helen Benedict Lasimbang ketika ditemui berkata, setiap hari sebanyak 3,000 vaksin disediakan kepada penerima.

“Namun apa yang saya ingin kongsi iaitu sepanjang vaksinasi di sini, jumlah temu janji melalui MySejahtera ialah seramai 2,700 tetapi daripada jumlah itu hanya 70 peratus yang datang untuk menerima vaksin.

“Saya harap mereka yang menerima temu janji vaksin supaya datang sebab kami sudah bersedia,” katanya.

Mengulas mengenai kehadiran dua individu berpakaian kostum adiwira hari ini, Helen berkata ia adalah idea yang bagus untuk memberi semangat lebih ramai datang menerima vaksin.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|