Lelaki yang didakwa terjun sebenarnya tergelincir

Lelaki yang didakwa terjun sebenarnya tergelincir

Kota Kinabalu: Seorang penjual ikan yang didakwa tiba-tiba memberhentikan kenderaannya sebelum terjun di Jambatan Politeknik, KKIP, di sini, semalam, sebenarnya tergelincir ketika memancing di jambatan berkenaan.

Dalam kejadian jam 8.35 pagi itu, lelaki berusia 38 tahun itu dikatakan bersama pakciknya pergi ke lokasi untuk memancing ikan.

Bagaimanapun, ketika hendak mengambil kedudukan memancing di rod besi panjang jambatan berkenaan, mangsa tergelincir dan terus terjatuh ke dalam sungai.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, mangsa kemudiannya diselamatkan pakciknya yang bergegas turun ke bawah jambatan untuk membantu.

Katanya, salah faham berkenaan timbul selepas seorang lelaki yang kebetulan melalui jalan itu melihat kejadian berkenaan.

“Lelaki terbabit yang dikenali sebagai ‘Bob’ terus memaklumkan kejadian itu kepada pasukan polis yang berada di Sekatan Jalan Raya (SJR) berhampiran Kampus Intan.

“Sepasukan polis terus bergegas ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan sebelum menghubungi pasukan paramedik untuk membantu,” katanya ketika dihubungai, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, hasil siasatan polis mendapati kejadian berkenaan adalah kemalangan dan tidak ada sebarang elemen jenayah termasuk cubaan bunuh diri.

Katanya, mangsa berada dalam keadaan stabil dan dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) sebagai pesakit luar.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan menurut laporan perubatan hanya terdapat koyakan tisu di bahagian peha dan betis,” katanya.

Sebelum ini, satu rakaman kejadian berkenaan tular di media sosial yang mendakwa lelaki terbabit terjun ke sungai berkenaan dipercayai cuba membunuh diri.

Rakaman sepanjang 23 saat itu mendapat perhatian ramai dan dikongsikan dalam aplikasi whatsapp sehingga menimbulkan pelbagai reaksi netizen.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|