Sabah berdepan gelombang Covid-19 yang serius

Sabah berdepan gelombang Covid-19 yang serius

Kota Kinabalu: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) hari ini mengakui Sabah kini sedang mengalami gelombang Covid-19 yang serius.

Dalam satu kenyataan, Pengarah JKNS, Dr Rose Nani Mudin, berkata disebabkan itu beberapa hospital terpaksa mengambil langkah meningkatkan kapasiti merawat pesakit Covid-19.

Katanya, Hospital Duchess Of Kent, Sandakan adalah antara yang mengambil langkah proaktif dengan membuka lebih banyak wad untuk menampung pesakit Covid-19 yang memerlukan oksigen.

“Sehubungan dengan itu, wad perempuan perubatan Hospital Duches Of Kent itu yang mempunyai 38 katil dijadikan wad Covid-19.

“Hospital berkenaan mempunyai 166 oksigen port dan 42 tangki oksigen yang mempunyai kapasiti 3,000 liter dan 6,000 liter.

“Selain itu, bagi menampung keperluan oksigen di hospital berkenaan, sebanyak 10 tangki oksigen dari Hospital Kinabatangan dan 20 tangki oksigen dari Hospital Beluran turut dihantar ke sana,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Rose Nani berkata usaha masih diteruskan untuk memastikan semua penduduk dewasa di negeri ini mendapatkan suntikan vaksin bagi mengurangkan risiko jangkitan serius Covid-19.

Katanya, sehingga semalam, 40 peratus penduduk dewasa di negeri ini sudah lengkap vaksin Covid-19, manakala 59.1 peratus penduduk menerima satu dos vaksin.

“Berdasarkan data diperolehi JKNS, 80 peratus hingga 90 peratus pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah belum divaksin.

“Sehubungan itu, untuk mengurangkan kadar kematian, setiap individu perlu menerima vaksin,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|