Anggota TLDM terselamat, kenderaan dirempuh sebelum terbakar

Anggota TLDM terselamat, kenderaan dirempuh sebelum terbakar

Kunak: Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) parah selepas kenderaan dipandunya dirempuh sebelum terbakar dalam kejadian di kilometer 34 Jalan Kunak – Lahad Datu, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa berusia 35 tahun terbabit parah selepas dipercayai mengalami patah tulang paha kanan dan kaki kiri serta rusuk kanan.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Sabarudin Rahmat berkata, mangsa yang memandu Perodua Aruz dipercayai dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Tawau.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dirempuh sebuah pacuan empat roda yang dipandu lelaki berusia 34 tahun.

“Akibat daripada perlanggaran itu, kereta mangsa terjunam ke dalam gaung di sebelah kiri jalan sebelum terbakar.

“Mangsa bagaimanapun sempat diselamatkan seorang pengguna jalan raya yang kebetulan melalui jalan berkenaan dengan menarik mangsa keluar dari kenderaan yang terbakar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sabarudin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu Mitsubishi Triton yang gagal mengawal kenderaan ketika melalui cerun berselekoh di laluan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, pemandu pacuan empat roda terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mangsa yang parah dalam insiden itu adalah anggota TLDM di Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu.

“Mangsa dihantar Hospital Kunak menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.

Sabarudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Kunak, Mohammad
Omarbatha berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama sebuah jentera FRT serta
EMRS bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, operasi menyelamat dan memadamkan api kebakaran segera dijalankan bagi memastikan keadaan terkawal dan tiada kemerbahayaan lain.

“Operasi ditamatkan pada jam 12.55 tengahari dan Perodua Aruz yang terbakar musnah 100 dalam insiden ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|